Dasar Gaji Progresif Dapat Membendung Peningkatan Kos Sara Hidup – Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pelaksanaan gaji progresif merupakan satu agenda reformasi yang penting dalam menyelesaikan beberapa masalah struktur dalam negara.

Ini kerana katanya rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup dan kerajaan tidak boleh terus-menerus hanya mencari kaedah membendung kenaikan harga barang.

Jelasnya, mekanisma kawalan harga pemberian subsidi pukal (blanket subsidy) dilihat membantut pertumbuhan industri dan memberi kesan jangka panjang terhadap kedudukan fiskal kerajaan.

“Pemberian dan pertumbuhan gaji yang bermaruah harus terus seiring dengan peningkatan kos sara hidup. Bahagian item CPI merekodkan kenaikan harga bulanan kekal di atas purata jangka panjang untuk kebanyakan tahun (purata 2022: 57.5 peratus; purata 2011-2019: 45.6 peratus), inflasi terus beri tekanan kepada kos sara hidup isi rumah terutamanya memandangkan kenaikan harga bagi barangan penting dan kerap dibeli.

“HIES 2022 yang dijalankan dua kali setiap lima tahun menunjukkan bahawa purata isi rumah di Malaysia membelanjakan RM5,150 sebulan pada 2022 berbanding purata sebanyak RM4,534 pada 2019 meningkat kepada sebanyak 11.96 peratus.

“Purata pendapatan isi rumah boleh guna (disposable income) bulanan hanya meningkat sebanyak 1.7 peratus. Pendapatan median isi rumah boleh guna bulanan pula menunjukkan peningkatan 1.9 peratus dan peningkatan kos sara hidup adalah tidak selari dengan peningkatan pendapatan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Shahar, peningkatan gaji yang seiring dengan produktiviti dapat mengurangkan pergantungan kepada bantuan kerajaan.

“Apabila gaji meningkat, pergantungan kepada program bantuan kerajaan akan berkurangan. Simpanan persaraan yang tidak mencukupi adalah isu kritikal di seluruh dunia. Ia dijangka menjadi lebih teruk pada masa hadapan. Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengunjurkan bahawa simpanan pencen global akan menghadapi kekurangan sebanyak USD400 trilion menjelang 2050.

“Jangka hayat yang lebih panjang dan nisbah tanggungan yang lebih tinggi sukar untuk memenuhi keperluan selepas bersara mereka. Malaysia juga berhadapan dengan trend global ini. Pendapatan yang lebih tinggi akan diterjemah kepada caruman dan simpanan yang lebih tinggi kepada KWSP di samping membantu populasi kita yang semakin menua,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau, peningkatan jumlah indeks gaji di negara ini kebanyakannya didorong oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Terdapat perbezaan gaji yang besar antara kelas kerja. Ini adalah penting memandangkan pekerja separuh mahir dan kurang mahir membentuk 46 peratus pekerjaan. Nisbah antara pekerja separa mahir dan tidak mahir pada 2010 adalah 1:0.7 berbanding 1:0.9 pada 2022.

“Maka penting untuk kita memperincikan di dalam dasar ini setiap kelas kerja bagi kemahiran rendah, sederhana dan tinggi bagi memastikan gaji mereka adalah berpadanan dengan kemahiran.

“Melangkah ke hadapan, pelan induk negara baru-baru ini seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP), dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) telah melakarkan laluan ke hadapan untuk ekonomi,” ujarnya.

Tegasnya, hala tuju yang dilakar seharusnya dipantau secara berterusan dan direalisasikan agar masalah guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran (under-employement) dapat diatasi di samping menawarkan gaji yang berpadanan kepada mereka.

“Peningkatan gaji kepada pekerja sering dikaitkan dengan beban terhadap majikan Malaysia Talent Workforce Insight 2023 menunjukkan bahawa 45 peratus tenaga kerja berada di tempat kerja semasa mereka kurang dari dua tahun dan 68 peratus pekerja berminat untuk menukar peranan, industri atau kerjaya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit