Saya Garang? Itu Hanya Sangkaan… Saya Tegas Dalam Membawa Suara Rakyat – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 27 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor menafikan persepsi beberapa pihak yang mengatakan beliau seorang yang garang hanya disebabkan berlatarbelakangkan seorang bekas tentera.

“Dalam hal ini jika mahu menjadi ahli Parlimen yang baik, salah satunya adalah tegas. Ketegasan itu bukan sahaja dapat membantu dari segi keperluan, kehendak rakyat yang diwakili.

“Begitu juga dapat membawa suara di peringkat yang lebih tinggi dan dengan itu mungkin kita akan dapat manfaat dan kelebihan (kepada rakyat),” kata bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu kepada media selepas program santai dan ramah mesra bersama masyarakat Kampung Sg Pergam, Air Putih di sini, Ahad petang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan penyelaras urus setia Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih Dr Mohd Zaki Salleh.

Sepanjang lebih seminggu krew UMNO Online mengikuti kempen Raja Mohamed Affandi, jelas kelihatan beliau seorang yang mudah mesra, peramah dan amat disenangi oleh rakyat yang mendampinginya.

Memasuki fasa minggu kedua kempen, Raja Mohamed Affandi mengucapkan setinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN kerana memberi sokongan yang padu kepadanya tanpa berbelah-bahagi.

Seterusnya, beliau turut bercita-cita mahu melantik seorang wakil dari kalangan orang Asli di pejabat wakil rakyat jika beroleh kemenangan sebagai pemudah cara untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dan menyelaraskan keperluan yang berkaitan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Wan Rosdy di Pejabat Menteri Besar Pahang.

Manakala dalam ucapannya, Raja Mohamed Affandi yang pernah berkhidmat dalam ketenteraan dan pentadbiran kerajaan selama 42 tahun akan mengaplikasikannya dalam memberi khidmat bakti kepada rakyat.

“Sebagai seorang yang pesara yang pernah berkhidmat di antara lima jawatan tertinggi anggota pentadbiran awam kerajaan, saya ingin berkorban kepada negara ini, kepada mereka yang telah berikan saya kedudukan tersebut.

“Saya takkan dapat bantu jika saya tidak mendapat mandat. Affandi tak dapat membuat sesuatu tanpa bantuan semua. Jadi berikanlah sokongan… Affandi ini berjanji akan memberikan yang terbaik. Mudah-mudahan Allah berikan petunjuk, memudahkan segala urusan, segala kebaikan, tidak mengubah hati saya untuk membantu rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit