Ramai Rakyat Berpandangan Parlimen Kemaman Perlu Seiring Dengan Kerajaan Persekutuan

KEMAMAN, 24 Nov – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini memasuki hari yang keenam dan parti-parti yang bertanding sedang giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan pendekatan dalam merayu undi.

Barisan Nasional (BN) menampilkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala pihak Pas mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman yang juga pernah menjawat jawatan menteri Kabinet Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, pada PRK ini rakyat mula sedar akan pentingnya sesuatu kawasan dan negeri diwakili dari parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya sempat meninjau dan mendapatkan pandangan orang ramai. Ramai menyatakan pada kali ini mereka akan memberikan sokongan kepada BN. Sebab mereka kata “tidak apa… ini bukan hendak pilih kerajaan, Pas sudah jadi kerajaan (negeri). Ini pilihan raya Parlimen tidak mengganggu kerajaan dan tidak menukar kerajaan yang sedia ada”.

“Mereka katakan bahawa elok juga satu kerusi Parlimen ini diberikan kepada Barisan Nasional. Kerana mereka tahu dalam sejarah pembangunan negeri Terengganu, Barisan Nasional adalah parti yang ada banyak sumbangan yang diberikan, jangan tiada langsung suara dari Barisan Nasional.

“Bukan sahaja dalam Parlimen Malaysia tetapi juga untuk membantu meneruskan banyak hasil perjuangan di Kemaman ini melalui ahli Parlimen yang baru. Jadi saya percaya bahawa keadaannya cepat sekali perubahan sikap dapat dirasakan,” kata Pengarah Komunikasi Strategik BN itu kepada UMNO Online.

Begitu juga ulasnya, ramai rakyat yang telah merasai satu kerugian apabila tiada satu pun kerusi Parlimen di jajaran negeri majoritinya Melayu tidak diwakili parti dari kerajaan pusat.

“Ramai menyatakan itu satu kerugian. Mereka kata ini bukannya jatuh ke tangan orang lain… kepada orang kita juga dan biar ada persaingan. Dan persaingan ini adalah persaingan sihat supaya semua Parlimen dan juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dalam negeri Terengganu ini tidak perlu dibolot oleh satu parti sahaja.

“Perlu kepelbagaian dan mereka merasakan dengan kehadiran Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi ini adalah peluang yang baik untuk melihat suara yang lain datang daripada Kemaman,” kata Ahmad Shabery lagi.

Sebagai rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit