PRK Kemaman: Pengundi Mesti Bijak, Tolak Perbuatan Rasuah – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang bakal diadakan pada 2 Disember depan untuk bijak dengan menolak parti yang terang-terangan melaksanakan rasuah.

Katanya, sebab PRK ini diadakan adalah jelas iaitu keputusan mahkamah mendapati ada kesalahan merasuah pengundi yang dilakukan oleh Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Justeru pengundi perlu bijak, pilih parti yang benar-benar boleh berkhidmat, wakil rakyat yang boleh bekerja dan tolak perbuatan yang secara terang-terang menggunakan wang untuk memancing undi.

“Perbuatan yang terbukti salah, bukan hanya melanggar undang-undang tetapi juga melanggar hukum Allah. Maka kerana itu, janganlah pengundi PRK Kemaman mudah terperangaruh dengan pelbagai kaedah yang secara terang memudaratkan kerana dalam Islam matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

“Hal berkaitan hukum-hakam, halal haram, syurga neraka dan siapa yang lebih Islam bukan boleh dipolitikkan atau dijadikan bahan untuk dimomokkan kepada pengundi. Segala penyelewengan dan tindakan yang bertentangan dengan Islam perlu ditolak apatah lagi untuk diangkat sebagai pemimpin,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau, mahkamah memutuskan memang wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15 yang dilakukan oleh calon Pas maka kemenangannya dibatalkan.

“Justeru mengapa perlu memilih parti yang secara terang memberi rasuah iaitu Pas?

“Jika benar menolak rasuah maka sewajarnya adalah menolak calon Pas kerana PRK Kemaman diadakan akibat perbuatan merasuah pengundi. BN memfailkan petisyen kerana BN mahu menolak rasuah, iaitu menolak perbuatan yang dilakukan oleh Pas.

“Hal ini bukanlah perkara yang boleh dijadikan mainan kerana ia adalah berkaitan hukum hakam Islam. Pengundi perlulah berintegriti dengan menolak parti yang mengamalkan rasuah, tolak calon parti Pas dan tolak calonnya waima sekalipun Menteri Besar Terengganu kerana ia adalah soal halal dan haram dalam Islam.”

Katanya, cukuplah sekali pengundi dipergunakan dan dijadikan alat politik untuk kuasa mereka yang menggunakan agama dalam berpolitik.

“Pilihlah BN yang secara realitinya telah terbukti membawa pembangunan, mampu berkhidmat dan dapat melaksanakan pelbagai bantuan secara terus dari kerajaan pusat.”

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya mengajak pengundi untuk menjadikan Parlimen Putrajaya sebagai iktibar dalam melaksanakan pilihan.

“Iktibar dari Parlimen Putrajaya, ahli Parlimennya gagal menunaikan janji lantaran pelbagai alasan yang tidak boleh diterima akal, konon sebab bukan menteri, bukan kerajaan pusat, tak ada duit hinggakan warga Putrajaya yang mohon bantuan disuruh pula meminta pada UMNO/BN Putrajaya. Lantas untuk apa jadi wakil rakyat?

“Maka pengundi PRK Kemaman… mesej jelas tolak Pas, undi BN,” katanya lagi.

Terdahulu pada 26 Sept, Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN-Pas) pada PRU15 kerana membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.