Pentadbiran 100 Hari Kedah… Gagal, Jauh Dari Landasan Realisasi ‘The Greater Kedah’ – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 24 Nov – Pentadbiran 100 hari oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ternyata gagal dan jauh dari landasan untuk merealisasikan agenda ‘The Greater Kedah’.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, antara kegagalan mereka adalah projek litar lumba yang dilancarkan sebelum pilihan raya telah dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

“Hari ni genap 100 hari Datuk Seri Muhammad Sanusi jadi Menteri Besar (MB) utk kali kedua, apa pencapaian dan berita gembira untuk rakyat Kedah? Biar saya senaraikan.

“Projek Litar Lumba yang dilancarkan sebelum pilihan raya masih tiada kelibat sama sekali. Projek yang dianggarkan bernilai RM75 juta masih lagi belum dimulakan, malahan tapak cadangan di Ambangan Heights Sungai Petani itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

“Stadium baru bertaraf Johor Darul Takzim (JDT) mana? Katanya akan dibiayai pihak swasta namun masih samar dan kabur sama sekali. Tapak stadium tersebut di Sungai Petani, masih lagi sunyi tanpa sebarang tanda-tanda pembinaan. Kesian peminat-peminat bolasepak yang telah diberi harapan oleh MB,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, kerajaan pusat telah memberikan bantuan kepada kerajaan Negeri Kedah untuk pembinaan Kedah Rubber City.

“Kedah Rubber City? Kerajaan pusat dah tolong, kegagalan kerajaan negeri menyediakan infrastruktur yang sepatutnya menyebabkan pelabur terbesar, Hong Seng Consolidated menarik diri.

“Air Kedah dan loji rawatan air? Kerajaan negeri janji untuk selesaikan pada Ogos tahun 2023, tapi apa sudah jadi? Sehingga kini proses penyiapan sangat perlahan dan mustahil dapat disiapkan mengikut janji yang bakal ‘dicapati’,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata kerajaan negeri gagal bekerjasama dengan baik bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) untuk tujuan penambahbaikan prasarana pelancongan di Langkawi.

“Langkawi sudah hilang pesona sebagai pulau tarikan pelancongan utama. Kerajaan negeri gagal mencipta dan mewujudkan program serta acara bertaraf antarabangsa bagi menarik para pelancong dari luar negara. Kerajaan negeri juga gagal bekerjasama dengan MOTAC bagi tujuan penambahbaikan prasarana pelancongan di pulau tersebut.

“Apa sudah jadi dengan skuad impian ‘Hijau Kuning’ negeri Kedah? Lebih daripada tiga bulan sudah tidak terima gaji? Menteri Besar menjanjikan saingan yang lebih bertenaga tahun ini, hingga boleh mengatasi JDT. Tetapi kalau dah gaji pun tak mampu nak bayar macam mana?

“Menteri Besar sendiri telah didakwa dengan tiga pertuduhan di mahkamah atas kesalahan menghina Institusi Raja, memfitnah MB Selangor dan ahli perniagaan Vincent Tan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, skandal logam nadir bumi (REE) juga semakin terserlah di samping kehadiran exco-exco negeri yang gagal berfungsi dengan baik.

“Skandal REE yang semakin terserlah? Bekas setiausaha politik dan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) telah didakwa kerana menerima suapan daripada pihak tertentu. Katanya akan ada banyak lagi pihak-pihak yang akan terdedah dan bakal didakwa?

“Exco-exco kerajaan negeri yang masih gagal berfungsi dengan baik, nampak gayanya penggal ini lagi sekali rakyat negeri Kedah akan dapat Exco yang berstatus ‘pegun’ dan lembik.

“Kesimpulannya, 100 hari yang gagal untuk Menteri Besar. Kalau 100 hari pun masih belum nampak apa-apa yang memberi impak yang besar, macam mana nak merealisasikan misi ‘The Greater Kedah’?” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit