FTA Dan IGA:  Pendekatan Malaysia Terbuka, Ambil Kira Kos Serta Manfaat Jangka Panjang – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sehingga hari ini, Malaysia telah menguatkuasakan 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan 62 Perlindungan Pelaburan Dua Hala (Investment Guarantee Agreement – IGA / Bilateral Investment Treaty – BIT).

Menurut beliau sebagai kementerian yang menerajui perdagangan antarabangsa, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertanggungjawab dalam menerajui kedua-dua rundingan berkenaan.

“Pada masa kini, Malaysia sedang merundingkan FTA baharu antaranya Malaysia-EFTA Economic Partnership Agreement (MEEPA) iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi di antara Malaysia dengan negara-negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (European Free Trade Association atau EFTA) merangkumi empat buah negara iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein yang sedang dirundingkan semenjak 2014.

“Seterusnya ASEAN-Canada Free Trade Agreement (ACaFTA) adalah rundingan perdagangan bebas di antara Kanada dan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia yang telah mula dirundingkan semenjak 2021,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan status rundingan bagi semua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Pelaburan Berbilang Pihak (BIT) dan proses perundingan, mekanisme dan jangka masa perundingan untuk perjanjian-perjanjian ini.

Tengku Zafrul seterusnya menambah, terdapat dua rundingan FTA yang masih lagi tergantung, iaitu rundingan Malaysia dengan negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah ditangguhkan semenjak 2012 dan dengan Republik Korea yang telah ditangguhkan semenjak 2019.

Bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA), tambah beliau lagi Malaysia sedang melaksanakan scoping exercise dengan EU untuk menentukan jurang kedudukan dan pendirian kedua-dua negara dan seterusnya memberi hala tuju agar mana-mana rundingan dilaksanakan benar-benar mengambilkira kos dan manfaat kepada negara.

“Malaysia juga masih bersikap terbuka terhadap mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Republik Korea dan sedang mengkaji hala tuju rundingan dengan mengambilkira faedah kepada negara.

“Bagi Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala (IGA), Malaysia sedang merundingkan IGA yang baharu dengan Qatar di mana rundingan telah dimulakan pada tahun 2022,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, secara umumnya, Malaysia mengambil pendekatan terbuka kepada mana-mana peluang rundingan FTA dan IGA dengan negara-negara rakan dagang dan sebarang rundingan FTA dan IGA haruslah mengambil kira kos dan manfaat kepada negara secara menyeluruh dan faedah kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Antara tindakan yang diambil sebelum memulakan mana-mana rundingan FTA dan IGA yang baharu adalah dengan melaksanakan kajian seperti Analisis Kos-Faedah (Cost-Benefit Analysis – CBA) yang komprehensif kepada mana-mana cadangan rundingan baharu.

“Selain itu, jangka masa rundingan adalah tertakluk kepada persetujuan dan kesanggupan di antara Malaysia dan rakan perundingannya untuk mencapai kata sepakat di dalam menghasilkan suatu perjanjian yang mengambilkira kepentingan dan faedah kepada kesemua pihak yang terlibat,” katanya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit