Saya Ingin Menjadi ‘A Soldier Statesman’, Tabur Khidmat Bakti Kepada Rakyat – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 21 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mahu menjadi ‘a soldier statesman’ iaitu individu yang bagus dalam ilmu ketenteraan dan masa yang sama terlibat dalam siasah menabur bakti kepada rakyat.

Berpengalaman sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tergolong antara lima penjawat awam tertinggi negara, Raja Mohamed Affandi berharap penglibatannya akan menjadi ‘game changer’ kepada hala tuju politik negara atas keupayaan memberi khidmat kepada rakyat secara langsung.

“Jika ada ruang ini, insya-Allah… saya mahu jadi ‘a soldier statesman’ iaitu negarawan yang berakar umbi kepada seorang soldadu. Seorang tentera dalam ketegasan dan dalam masa yang sama ada kewibawaan memimpin masyarakat,” katanya dalam sesi sembang santai bersama hampir 300 ratus veteran ATM Kemaman di Kelab Golf Rantau Petronas, Kertih di sini, Isnin.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral (B) Tan Sri Zulkiple Kassim dan bekas Panglima Dua Divisyen Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Ramli Jaafar.

Ulasnya juga, masih banyak lagi ‘kerja yang belum selesai’ yang perlu beliau lunaskan sekiranya diberikan peluang dan mandat pada 2 Dis kelak.

Antara yang diperjuangkan ketika berada di kedudukan tertinggi dalam tentera itu adalah seperti kenaikan pencen hilang upaya, bantuan bakti negara untuk tentera-tentera yang tidak berpencen, kediaman bagi setiap anggota dan veteran tetapi semua itu terhenti apabila beliau bersara.

“Beri saya ruang untuk menjadi suara tersebut… insya-Allah saya akan selesaikan apa yang saya belum selesaikan,” katanya.

Begitu juga ujarnya, PRK Parlimen Kemaman ini merupakan satu medan pertempuran tanpa senjata yang hebat dalam negara.

“Kemaman hari ini adalah satu medan pertempuran yang hebat dalam negara. Tetapi dengan kekuatan yang ada kita mampu mengurangkan keberangkalian. Daripada satu orang boleh menjadi sepuluh, dua puluh dan kita boleh membuat gandaan tersebut.

“Saya berharap untuk bersama saya. Kali ini peluru kita bukan 556 milimeter, bukan 9 milimeter, bukan 762 milimeter, bukan bom… peluru kita adalah sebatang pen, gunakanlah pen itu dengan sebaiknya, bukan untuk kita… fikir untuk anak, fikir untuk cucu… fikirlah yang baik.

“Berikan peluang untuk saya berbakti. Saya ingin mengabdikan diri lagi kepada negara. Saya tidak dapat berbuat demikian sekiranya saya tidak dapat mandat daripada rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit