Kewujudan Kembali Klinik Kesihatan Bergerak Inisiatif Terbaik – Noraini

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad semalam membangkitkan persoalan berkaitan klinik kesihatan bergerak yang disifatkan sebagai salah satu usaha terbaik untuk kesihatan masyarakat khususnya di luar bandar.

Menurut beliau klinik tersebut yang diwujudkan kembali memberi peluang kepada masyarakat luar bandar terutamanya untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mewujudkan semula klinik kesihatan bergerak dan klinik ini kita tahu ianya adalah satu inisiatif yang sangat baik dalam usaha untuk mendekati golongan atau keperluan masyarakat yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rawatan kesihatan khususnya kawasan luar bandar.

“Bagaimanakah kementerian membuat pengagihan kawasan serta lokaliti untuk perkhidmatan klinik bergerak ini dan selain itu, berapakah lokasi klinik bergerak kerajaan yang khusus untuk kawasan luar bandar memandangkan sesetengah masyarakat luar bandar tidak mempunyai kenderaan untuk ke klinik kesihatan yang rata-ratanya agak jauh daripada penempatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan, semalam.

Pada masa yang sama Noraini turut berharap klinik kesihatan bergerak dapat diwujudkan di parlimen beliau iaitu di Parit Sulong.

“Untuk tahun hadapan… peruntukan untuk klinik kesihatan bergerak ini di parlimen Parit Sulong. Kami sebenarnya memerlukan klinik bergerak ini kerana penduduk sangat padat dan kawasan parlimen ini adalah kawasan luar bandar.

“Kawasan ini juga mempunyai penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat antara yang tertinggi di negeri Johor dan selain itu bagaimanakah persiapan klinik bergerak ini agar boleh dimanfaatkan oleh warga emas dan juga OKU,” ujarnya.

Pada masa yang sama Noraini turut berharap masalah kekurangan ambulan di parlimen Parit Sulong dapat diberi perhatian dan penelitian sewajarnya oleh pihak kementerian.

“Di parlimen Parit Sulong ada empat klinik kesihatan dan satu klinik kesihatan mempunyai ambulan. Ambulan yang sedia ada ini pula selalu rosak dan sangat uzur…ini tidak mencukupi sebenarnya. Ada banyak kecemasan berganda dan perjalanan pula daripada klinik-klinik kesihatan ini ke hospital Batu Pahat mengambil masa paling kurang 45 minit hingga satu jam setengah.

“Di Klinik Kesihatan Semerah contohnya tidak ada fasiliti langsung ambulan dan ianya terletak betul-betul antara parlimen Batu Pahat dan Muar. Jadi nak pergi ke Batu Pahat satu jam setengah, ke Muar pun satu jam setengah. Kawasan ini sangat padat dan kerap berlaku kecemasan.

“Mereka terpaksa meminjam KK Bagan dan jika KK Bagan tidak dapat digunakan, pergi ke Parit Yusuf pula dan ini kawasan parlimen Muar. Ini amat menyulitkan kerana penduduk kawasan ini rata-ratanya warga emas yang memerlukan keperluan seperti ini. Seringkali ketiadaan ambulan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit