‘Kemaman Untuk Kemaman’, Calon Diiringi Jentera Ke Pusat Penamaan

KEMAMAN, 18 Nov – Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini.

Bermula jam 8.35 pagi, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan bersama pimpinan pusat dan negeri mengiringi calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berarak dari perkarangan pejabat UMNO Bahagian Kemaman ke pusat penamaan calon dalam cuaca redup setelah hujan sejak lewat malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ketua-ketua sayap, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Turut serta Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum perarakan yang dimeriahkan laungan ‘Kemaman Untuk Kemaman’ dan ‘Kemaman Untuk BN’ dan ‘Gelombang Biru’, diadakan taklimat daripada pihak keselamatan, bacaan doa dan ucapan ringkas dari Mohamad.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya berkata BN akan berusaha keras merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman yang sebelum ini dimenangi oleh Pas.

Katanya, kemenangan BN di Kemaman amat bermakna agar ada suara wakil Kerajaan Perpaduan di dalam Dewan Rakyat untuk kepentingan rakyat di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 1 Disember.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit