Kerajaan Perhebat Program Turun Padang, Pastikan STR Dirasai Seluruh Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kerajaan sedang memperhebatkan program turun padang bersama komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM10 bilion telah disediakan oleh kerajaan pada tahun 2024 bagi memanfaatkan 9 juta penerima.

“Untuk makluman, pada tahun 2024 sebanyak RM10 bilion disediakan untuk program STR bagi memanfaatkan 9 juta penerima berbanding RM8 bilion pada tahun 2023.

“Program ini merupakan bantuan kerajaan kepada golongan berpendapat rendah dan sederhana iaitu RM5,000 ke bawah yang benar-benar berkelayakan serta memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, terdapat tiga cara untuk menyampaikan maklumat mengenai status kelulusan permohonan dan pembayaran kepada rakyat.

“Penyampaian perkhidmatan terutamanya melibatkan golongan sasar sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan pemakluman berhubung status kelulusan permohonan STR dan pembayaran akan dipastikan sampai kepada pemohon melalui tiga cara

“Pertama, penghantaran surat kepada penerima lulus berdasarkan alamat yang didaftarkan dalam pangkalan data STR termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Kedua, hebahan khidmat pesanan ringkas (SMS blast) ke nombor telefon penerima yang lulus dan berdaftar dalam pangkalan data STR.

“Ketiga, semakan sendiri melalui portal rasmi STR di laman sesawang www.lhdn.gov.my. Bagi tujuan kemaskini maklumat atau permohonan baharu STR, ia juga boleh dibuat secara berkelompok melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan persatuan penduduk yang mewakili komuniti setempat,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, proses pendaftaran dan pengemaskinian perlu dilaksanakan bagi memastikan individu yang layak menerima STR tidak tercicir.

“Selain itu, kerajaan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Antara contoh yang telah dibuat, di Masjid Al-Falah, Jengka 7… Kampung Perting Bentong dan Kampung Rancangan Batu 22, Tawau.

“Pusat khidmat wakil rakyat juga boleh berperanan lebih luas dengan menjadi barisan hadapan bagi memastikan individu yang tercicir melalui pembukaan kaunter bergerak untuk tujuan pendaftaran dan pengemaskinian secara berkelompok.

“Proses pendaftaran dan pengemaskinian ini perlulah dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak sahaja menerima STR. Langkah ini juga penting bagi memastikan sumber kewangan negara digunakan dengan berhemah dan bersasar kepada golongan B40 disamping mengelakkan ketirisan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.