‘Round Table’ Pemuda UMNO Malaysia: Pre-Kongres Ekonomi Bumiputera

Pemuda UMNO melihat kedudukan Bumiputera dalam tempoh lima dekad pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) menunjukkan wujudnya peningkatan strata sosial dan ekonomi.

DEB cetusan Almarhum Tun Razak telah mengilhamkan penubuhan pelbagai agensi Bumiputera berserta program dan inisiatif serius pihak kerajaan sehingga ke Tindakan Pembangunan Bumiputera demi merapatkan kesenjangan etnik dan membina masyarakat majmuk yang bersatu padu.

Pun begitu, perjuangan membina kehidupan di era pascamoden terus menekan dan menghimpit rakyat Malaysia khususnya Bumiputera akibat pergerakan revolusi industri yang pesat dengan ekonomi global yang semakin kompleks.

Melihat realiti kedudukan ekonomi Bumiputera secara empirikal seperti kadar pengangguran 2022 Bumiputera 4% melebihi paras nasional 3.9% dengan golongan Bumiputera berusia 20 – 29 tahun paling terkesan sebanyak 17.5%. Cabaran semasa juga turut disumbang dengan nilai pendapatan melebar antara etnik. Cabaran lain yang perlu diberikan perhatian juga termasuklah kedudukan modal kontraktor Bumiputera dan perusahaan Bumiputera yang lain.

Menjadi tanggungjawab generasi hari ini meneruskan legasi agenda Bumiputera dari pemimpin terdahulu dalam menggalas amanah rakyat. Justeru, Pemuda UMNO Malaysia mengambil inisiatif mengadakan persidangan meja bulat peringkat sayap Pemuda bagi Pre Kongres Ekonomi Bumiputera menyingkapi cabaran ini secara komprehensif agar golongan belia dan bumiputera terus melangkah kehadapan membangun ekonomi dan negara dengan lima (5) tema telah dibahaskan:-

i. Birokrasi dan urus tadbir yang cekap dan berkesan
ii. Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi
iii. Rangkaian ekonomi bumiputera yang mampan
iv. Memudahcara perniagaan yang berdaya
v. Perusahaan berteraskan koperasi Pemuda

Pemuda UMNO Malaysia juga mencadangkan agar proses permohonan disemak dan ditambah baik agar kelulusan geran dan pinjaman dipermudah dan dipercepatkan khususnya untuk syarikat Bumiputera G1 – G4 berserta syarikat Bumiputera PMKS. Di sebalik segala cadangan pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera, sebesar-besar penghargaan dizahirkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap komitmen agenda Bumiputera melalui pelbagai skim dan inisiatif melalui Belanjawan Kerajaan Madani 2024.

Mohd Kamal Ulum bin Morsin,
Hasry Sham bin Chasmen
Tengku Muhammed Hafiz bin Tengku Adnan
Pengerusi Bersama Biro Ekonomi & Usahawan Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

 

 

*************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit