‘Round Table’ Pemuda UMNO Malaysia Ke Arah Membangunkan Agenda Ekonomi Bumiputera – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 13 Nov – ‘Round Table’ Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera Anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang berjaya diadakan malam tadi menandakan langkah awal dalam menggalakkan penyertaan dan sumbangan parti ke arah pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Bersama Biro Ekonomi Dan Usahawan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, pelaksanaan program ini telah mencambahkan idea-idea segar dan pandangan proaktif dari pelbagai latar belakang yang bakal dibawa ke peringkat atasan.

“Program ini adalah sebahagian persediaan bagi Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan berlangsung tidak lama lagi dan ia telah mengumpulkan barisan Pemuda dari pelbagai lapisan untuk berkongsi pemikiran berkaitan peranan dan cabaran untuk mewujudkan ekonomi bangsa yang dinamik dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam ‘Round Table’ Pemuda UMNO Malaysia: Pre-Kongres Ekonomi Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia, Menara Dato Onn, malam tadi.

Menerusi program tersebut, beberapa isu utama telah diketengahkan iaitu peluang keusahawanan bagi belia, pendidikan ekonomi Melayu, dan integrasi teknologi dalam memajukan sektor ekonomi.

“Rundingan ini memberikan platform yang unik dan terbaik untuk Pemuda UMNO bersuara di samping menyumbang kepada pembentukan strategi ekonomi Melayu dan Bumiputera ke arah yang lebih berdaya maju dan ruang bagi kita sama-sama mencorak masa hadapan negara.

“Sokongan dan dukungan dari semua peringkat termasuk kepimpinan tertinggi yang mengamanahkan mandat perbincangan peringkat awal berkaitan ekonomi masa hadapan amat dihargai malah kehadiran rakan-rakan Pemuda UMNO ini juga adalah satu suntikan pendorong ke arah masa depan ekonomi Melayu dan Bumiputera yang lebih cerah.”

Katanya lagi, perundingan meja bulat berkaitan ekonomi masa hadapan adalah momentum yang positif dalam memanaskan lagi persediaan untuk Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan datang.

“Pemuda UMNO Malaysia bersedia malah kita siap siaga menggalas apa-apa juga tanggungjawab demi masa hadapan agama, bangsa dan negara. Saya yakin bahawa penglibatan aktif khususnya Pemuda UMNO dan belia dalam merangka agenda ekonomi Melayu menjadi teras kepada memacu negara sebagai pusat ekonomi yang lebih progresif pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit