Sokongan Kepada PM: Strategi Permainan Psikologi Politik PN Sedang Memakan Diri

ALOR SETAR, 11 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin beranggapan bahawa strategi permainan psikologi politik Perikatan Nasional (PN) sedang ‘memakan diri’ mereka sendiri.

Ini kerana katanya, PN pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) menjangkakan bahawa akan berlaku ‘dominos effect’ iaitu penghijrahan ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan sehingga terbentuknya kerajaan yang mereka idamkan.
“Dalam filem ‘3 Abdul’, ayah mertua mereka iaitu Ahmad Nisfu kata… ‘jangan marah nanti kena jual’. Cerita awal dahulu mereka yang beria-ia mahu menukar kerajaan. Katanya akan ada ahli Parlimen Kerajaan Madani akan nyatakan sokongan.

“Kononnya juga selepas PRN sekiranya PN sapu bersih enam negeri akan terus berlaku kesan domino iaitu penghijrahan beramai-ramai sehingga terbentuknya kerajaan PN yang baharu.

“Ahli-ahli Parlimen Kerajaan Madani akan beramai-ramai mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK). Bukan kita yang kata, tetapi mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, cerita gendang kerajaan bakal bertukar menjadi semakin lapuk dan tidak berjaya dijadikan bahan dagangan politik yang laris.

“Pada pandangan saya, PN ini tidak tumpah macam Ahmad Nisfu dalam cerita ‘3 Abdul’ yang menyangka diri mereka sangat pintar mengatur langkah tetapi sangat tidak menyangka ada Abdul Wahub yang lebih bijak mengatur strategi.

“Hakikatnya strategi permainan politik psikologi PN sedang memakan diri. Cerita gendang kerajaan bakal bertukar menjadi semakin lapuk… tidak menjadi bahan dagangan politik yang laris,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan Ketua Pemuda Pas yang baharu agar menunggu masa yang sesuai untuk mengambil alih kerajaan dan tidak terpesona dengan modal politik murahan para ‘senior’.

“Nasihat saya kepada Ketua Pemuda Pas baharu, nak ambil alih kerajaan kena tunggu masa dan ketika yang betul.

“Jangan mudah terpesona dengan politik para ‘senior’ yang hanya bermodalkan perang psikologi murahan dan dangkal. Wallahualam, teruskan menunggang,” katanya lagi.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.