Noraini Dapatkan Penjelasan Berkenaan Komitmen Kerajaan Terhadap Pertanian Bandar

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini bertanya berkenaan sejauh mana galakkan kerajaan terhadap pertanian bandar dalam kalangan rakyat pada ketika ini bagi menggalakkan aktiviti penanaman sendiri sebagai sumber makanan.

Beliau juga bertanya berkenaan status implementasi program tersebut yang pernah dilaksana sebelum ini serta kekangan dihadapi.

“Adakah kementerian akan mempergiatkan semula pertanian bandar ataupun urban farming sebagai salah satu aspek untuk mengurangkan kebergantungan rakyat daripada sumber di pasaran?

“Apakah status urban farming yang pernah diperkenalkan dahulu? Adakah masih aktif diusahakan, jika tidak apakah halangan dan bagaimanakah ianya boleh diperkasakan semula,” katanya.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia bertanya demikian kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika waktu jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menjawab kepada soalan itu, beliau berkata kerajaan menggalakkan aktiviti penanaman pertanian bandar melalui peruntukan RM400 juta yang telah diluluskan pada Belanjawan 2024 lalu.

Katanya ini kerana pertanian bandar sememangnya mendatangkan hasil yang baik dengan pembajaan dan teknologi yang sesuai.

“Sesiapa sahaja yang ada keinginan untuk membuat pertanian di hadapan rumah atau di kawasan sempit seperti yang dilakukan di Singapura, boleh memohon dan jika ada kesesuaian kita akan mempertimbangkan kerana memang digalakkan, misalnya ada urban farming yang dibuat di Shah Alam, Bangi dan beberapa tempat.

“Bahkan sekarang ini banyak juga sayur-sayuran yang ditanam dalam keadaan tertutup cuaca, warna boleh dikawal mengikut keadaan, ini teknologi baharu yang kita lihat amat sesuai untuk urban farming ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit