Parlimen: Shahar Minta Kerajaan Nyatakan Status Terkini Pembangunan Lima Wilayah Ekonomi
KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah meminta Kementerian Ekonomi menyatakan status penambahbaikan berhubung pembangunan di lima Wilayah yang diwujudkan sebelum ini.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini beliau berkata pembangunan koridor yang diwujudkan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan lain-lainya memerlukan penjelasan lanjut.
“Saya yakin dan percaya pembangunan lima koridor yang diwujudkan semasa PM kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi… persoalannya apakah telah puluhan tahun prestasi kelima-lima koridor ini dan jangan hanya kita bersandarkan kepada Iskandar Malaysia.
“Apa perkembangan keempat-empat koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Saya fikir sudah tiba masanya kita menilai serta menyemak keberkesanan wilayah koridor ekonomi ini dan sudah tiba masanya kaedah ‘centralized’ semuanya berlaku di Putarajaya sudah tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana kita melihat kekurangan ekonomi wilayah tetap masih ada,” katanya.
Beliau seterusnya mencadangkan ‘empowerment’ diberikan kembali kepada perbadanan kemajuan negeri bagi memudahkan lagi segala pelaksanaan termasuklah mengatasi segala komen-komen sepertimana yang terkandung di dalam laporan ketua Audit Negara 2021.
“Saya cadangkan ‘empowerment’ kembali diberikan kepada perbadanan kemajuan negeri supaya isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini seperti isu tanah, pengurusan dan sebagainya…kerana apa…kita lihat apa yang dilaporkan oleh laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2021 berkaitan NCER banyak komen-komen yang dibuat.
“Sudah pasti objektif untuk menjadikan ianya sebagai pusat ekonomi koridor utara yang bertaraf dunia tidak tercapai kerana banyak faktor… faktor perolehan, aspek pengurusan kewangan…pengurusan tanah… walaupun audit ini berlaku pada tahun 2021, saya ingin tahu apakah status penambahbaikan yang telah dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut membangkitkan mengenai dua projek di Paya Besar yang melibatkan ECER.
“Saya juga ingin bertanya status dua projek di di kawasan saya iaitu Pahang Teknologi Park dan Gambang Halal Park yang melibatkan ECER yang saya tengok pembangunan sudah ada tetapi pelaburannya sehingga ke hari ini tidak nampak apa yang sedang berlaku,” tambahnya. – UMNO Online