KKR: Laluan Tol, RFID Dan MLFF Mampu Selesai Masalah Tersebut – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata semua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memantau setiap lorong tol yang menggunakan sistem kutipan tol dan teknologi Radio Frequency Identification (RFID).
Menurutnya, pelaksanaan teknologi tersebut dapat menambah baik sistem kutipan tol seterusnya memudahkan kenderaan menggunakan dengan betul dan mampu menyelesaikannya.
“KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong tol yang menggunakan sistem kutipan tol dengan teknologi RFID di semua lebuhraya.
“Selaras dengan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebagai usaha dalam menambah baik sistem kutipan tol, teknologi RFID ini telah diterima sebagai teknologi yang akan digunakan dalam pelaksanaan MLFF.
“Dengan pelaksanaan MLFF kelak, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol sekaligus meningkatkan kelancaran perjalanan pengguna di lebuhraya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisyen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang meminta KKR menyatakan apakah hala tuju Kerajaan Persekutuan terhadap sistem RFID di semua lebuhraya dan apakah usaha untuk menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuhraya.
Dalam masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer atau lebih dikenali RSN Rayer yang bertanya adakah kerajaan akan mengumumkan apa-apa pelepasan tol kerana cuti yang panjang, bukan sahaja orang India malahan ramai rakyat yang akan bercuti.
Terang Abdul Rahman, setakat ini belum ada perbincangan lagi dan jika ada Kementerian Kewangan (MOF) akan membuat kenyataan tersebut melalui di bawah Kementerian Kerja Raya.
“Sebenarnya ‘trend’ di Malaysia apabila ada cuti bercantum ataupun perayaan sudah pasti masyarakat Malaysia akan pulang ke kawasan masing-masing untuk meraikan bersama.
“Maknanya dapat kelulusan dari MOF baharulah Kementerian Kerja Raya akan mengumumkan sama ada pelepasan tol perayaan Deepavali tapi terpulang pada MOF,” katanya lagi.
Sehingga kini terdapat 416 lorong RFID di lebuh raya di seluruh negara dan ia sering dipantau oleh LLM dan KKR sentiasa menambah baik kutipan tol RFID selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggunapakai MLFF di negara ini. – UMNO Online