BN Umum Calon PRK Parlimen Kemaman 13 November – Ahmad Said

KEMAMAN, 5 Nov – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 13 November ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu akan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden BN, di ibu negara.

“Insya-Allah, pada 13 November ini, di Kuala Lumpur, Presiden parti akan umumkan calon yang akan bertanding di PRK Parlimen Kemaman ini.

“Presiden juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nama calon yang akan bertanding” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Chendor di sini, malam tadi.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu turut memberi bayangan calon yang akan bertanding merupakan individu yang terkenal.

“Insya-Allah satu kejutan besar akan berlaku di Kemaman. Calon ini ialah antara nama-nama terkemuka negara.

“Persetujuan juga telah dicapai antara calon dan Presiden parti,” katanya yang turut mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRK tersebut.

Ahmad yang juga Pengarah Jentera BN PRK itu turut menasihatkan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai calon sehingga namanya diumumkan kelak.

“Kita berharap sasaran untuk mendapat 550 undi bagi satu cawangan akan menjadi kenyataan dengan bantuan jentera dari seluruh negara termasuk MCA dan MIC.

“Kita akan buat konsep anak angkat dan bapa angkat yang mana setiap bahagian akan jaga satu cawangan. Kita ada 109 cawangan, untuk cawangan yang besar, mungkin akan dibantu oleh dua cawangan,” katanya.

Ahmad berkata, kerusi Parlimen Kemaman penting untuk menentukan dua pertiga kerusi dalam Parlimen.

“Yang penting, kita nak tambah satu kerusi dan kembalikan dua pertiga kerusi dalam kerajaan. Sebelum ini kita ada 148 kerusi, namun sekarang tinggal 147 selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), keluar (dari blok kerajaan). Jadi Kemaman akan tentukan 148 kerusi,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Parlimen Kemaman bakal diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit