Komuniti Media Madani Bolehkan Jentera Salur Maklumat Sahih Kepada Rakyat – Azalina
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Komuniti Media Madani diwujudkan bagi membolehkan para jentera menyalurkan maklumat sahih kepada rakyat di samping menangkis segala fitnah yang wujud di media sosial.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat serangan bertalu-talu kerana tiada kefahaman rakyat.
“Kita nak mewujudkan komuniti Media Madani ini supaya pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat menyalurkan maklumat serta isu-isu semasa kepada rakyat di bawah.
“Hari ini, kita bermula dengan program forum Penerangan Belanjawan 2024 dan kita ada dua orang Timbalan Menteri Kewangan. Tiga tumpuan utama dalam Belanjawan 2024 iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjakkan pertumbuhan dan meningkatkan darjat hidup rakyat.
“Kalau kita tengok reaksi rakyat di bawah pada Belanjawan 2024 ini, tiga isu utama yang saya rasa kita mendapat serangan demi serangan sebab tiada kefahaman rakyat di bawah,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Forum Belanjawan 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.
Menurutnya, kemudahan untuk akses kepada media sosial pada zaman kini menyebabkan cara berpolitik semakin dinamik.
“Seperti yang diterangkan oleh Perdana Menteri, dasar ekonomi Madani ini terikat kepada dasar yang baru kita nak bawa pada 2024. Jadi, isu kos sara hidup, subsidi untuk rakyat dan cukai perkhidmatan akan meningkatkan kos sara hidup ataupun tidak ini menjadi perkara utama.
“Kita mesti terima hakikat bahawa hari ini cabaran yang paling besar adalah dalam poket kita. Bukan sahaja duit tetapi cabaran teknologi maklumat. Akses kita kepada media sosial berlainan daripada cara kita berpolitik dahulu.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang, kita berhadapan dengan kepantasan maklumat yang perlu kita jawab sebab apa yang berlaku sekarang iaitu tuduhan demi tuduhan berlaku dengan pusingan begitu laju,” katanya lagi.
Jelasnya, fitnah bergerak dengan sangat laju seiring dengan kemajuan media sosial dan rakyat sering termakan dengan perkara tidak benar.
“Platform-platform ini bukan dicipta di Malaysia. Kita nak tekankan di sini bahawa kita berdepan dengan cyber attack. Pada PRU ke-16, bacaannya adalah memang perang teknologi maklumat.
“Jadi, komunikasi yang kita nak dapat itu satu perkara. Nak memperbetulkan, berapa banyak daripada kita dapat akses nak mencari kepada kebenaran? Kadang-kadang kita percaya pun sekali, fitnah itu bergerak begitu pantas sepuluh kali. Kesimpulannya kita percayakan fitnah itu daripada kebenaran.
“Sebab itu, kita ini sebagai manusia biasa kalau sesuatu perkara tersebut berulang, kita akan percaya kerana kita sangkakan ia benar. Tak ramai orang yang mempersoal. Sebab itu komuniti Media Madani yang kita nak wujudkan di peringkat negeri-negeri, kita mahu supaya jentera dapat maklumat yang paling sahih untuk kita salurkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Azalina turut beranggapan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menjadi cabaran utama kerana peruntukan undang-undang yang ada tidak mencukupi.
“Kita berhadapan demokrasi digital, cabaran kita yang kedua ialah SPR… sekarang semua ini atas talian maka undang-undang yang ada tidak mencukupi.
“Kita sebagai jentera parti mesti bersedia supaya pada PRU ke-16 kita dapat membezakan kebenaran dan juga fitnah. Terakhir sekali, yang paling mudah dipetik adalah isu 3R (raja, bangsa, agama) sebab mereka tahu ini adalah satu perkara yang ada indoktrinasi kepercayaan.
“Kalau kita buat ceramah macam dulu, turun ke bawah kesannya tidak sehebat kita nak mendapatkan maklumat itu sentiasa untuk disahihkan. Sebab pusingan fitnah itu akan terikat 48 jam paling lama.
“Kita nak betulkan pada jam ke 72 pun sudah tidak laku. Maknanya dalam masa 48 jam kita kena cari kebenaran. Masa adalah musuh kita sebab semuanya berlaku terlalu laju,” katanya lagi. – UMNO Online