Belanjawan Tinggi Untuk Rakyat, Kerajaan Perpaduan Adil… Tidak Lupa Negeri Pembangkang – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Peruntukan tinggi yang diberikan Kerajaan Perpaduan termasuk bagi Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2024 kerana terdapat ketidakseimbangan pembangunan di negeri tersebut, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas Ahmad, bantuan yang diberikan pada kedua-dua negeri ini dapat menyelesaikan perkara-perkara asas termasuk juga kemudahan Lebuhraya Pan Borneo.

“Ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini adil dan dalam masa yang sama menumpukan pembangunan pada negeri yang kurang membangun terutamanya Sabah dan Sarawak dengan menerima bantuan RM 6.6 bilion untuk pembangunan negeri Sabah.

“Sebanyak RM15 bilion untuk menyelesaikan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, ratusan juta untuk sumbangan tunai Rahmah dan asas Rahmah untuk rakyat Sabah.

“Tidak ketinggalan juga meneruskan bantuan-bantuan untuk negeri Sarawak sebanyak RM5.8 bilion dan jalan lebuhraya pantai perlu diselesaikan serta rakyat negeri itu juga diberikan bantuan tunai dan asas Rahmah,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Program Forum Belanjawan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan belanjawan 2024 ini bukan sahaja diberikan manfaat pada rakyat negeri yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan, malah rakyat di negeri-negeri pembangkang juga tidak dilupakan.

“Kita tidak menafikan sumbangan tunai Rahmah itu diberi kepada rakyat Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah walaupun empat negeri itu tidak menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi rakyatnya mendapat sumbangan tunai Rahmah, sumbangan asas Rahmah, bantuan Rahmah dan sebagainya.

“Belanjawan ini cukup adil kepada keempat-empat negeri tersebut walaupun negeri itu diterajui oleh pembangkang,” ujarnya.

Tegas Ahli Parlimen Pontian itu, elemen bantuan yang diberikan adalah cukup adil apabila Kerajaan Perpaduan tetap memberikan agihan pada rakyat keempat-empat negeri tersebut.

“Elemen pertama adalah bantuan terbesar dan kedua adalah adil pada semua rakyat walaupun tahu rakyat tersebut tidak menyokong Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan namun tetap memberi bantuan kepada rakyat-rakyat empat negeri itu,” ujarnya.

Semalam sidang Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 yang diluluskan pada peringkat dasar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.