Isu Palestin: Hipokrasi Dan Keenganan Barat… Malaysia Harus Mengetuai Bantahan

1. Setelah hampir sebulan tercetusnya konflik keganasan di Tanah Palestin yang dijajah, adalah amat mengecewakan, namun tidak mengejutkan, bahawa negara-negara maju terutamanya di Barat, masih membawa naratif hitam lawan putih; baik lawan jahat dalam konflik ini. Mereka gagal untuk menyedari bahawa naratif sedemikian tidak akan mungkin dapat memadamkan bukti bahawa terlalu banyak kekejaman Israel dalam pendudukan haramnya di Palestin.

2. Adalah amat jijik untuk melihat sikap Israel memutar belit dan mengambil kesempatan atas pencerobohan Hamas pada 7 Oktober lalu sebagai alasan untuk menghancurkan Gaza dengan persetujuan penuh, yang sangat memalukan daripada pendokongnya di Barat. Satu-satunya perbezaan antara tindakan semasa Israel di Gaza dan kekejaman Nazi terhadap ghetto Yahudi di Eropah adalah penggunaan senjata api yang dahsyat oleh oleh Israel ke atas Gaza yang kebanyakan penduduknya adalah orang awam.

3. Sudah terlalu lama, naratif Israel, yang disokong penuh oleh sebahagian negara Barat, telah memperlakukan rakyat Palestin lebih hina daripada haiwan. Masyarakat antarabangsa perlu menghantar mesej yang jelas bahawa penghinaan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin adalah salah dan sangat tidak boleh diterima. Israel harus menyedari bahawa rakyat Palestin adalah setara dengan mereka dan merupakan satu-satunya rakan yang boleh menjamin keamanan dan keadilan yang berpanjangan.

4. Kemarahan, kekecewaan dan ketidakupayaan penduduk Gaza yang menderita di bawah sekatan yang tidak berperikemanusiaan dan serangan besar-besaran oleh tentera Israel, adalah selari dengan suara sebilangan besar masyarakat dunia, yang sebelum ini turut menderita di bawah penjajahan dan penipuan penyokong Israel di Barat. Ironinya, rapat umum membantah kekejaman Israel dan pendudukan haramnya serta penderitaan rakyat Palestin di bandar-bandar besar di Barat menggambarkan betapa pemimpin-pemimpin Barat tidak berpijak di bumi nyata dengan apa yang terjadi di sekeliling mereka.

5. Golongan elit pro-Israel di Barat harus juga memahami bahawa era dominasi Barat yang menghalalkan penubuhan Israel sudah lama berakhir. Kini, kita berada di persimpangan sejarah di mana bukti kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh disangkal sama sekali. Begitu juga, bukti bahawa sesetengah negara yang telah dan terus memberi sokongan moral, kebendaan dan ketenteraan yang telah membolehkan pendudukan haram Israel, turut sama terpalit dengan darah rakyat Palestin.

6. Berdekad-dekad lamanya, Barat menyebarkan falasi bahawa Israel merupakan “satu-satunya demokrasi di Timur Tengah”. Walau sebelum kempen keganasannya di Gaza ini pun, hanya penyokong tegar yang tidak waras sahaja yang boleh menerima bahawa Israel mengamalkan demokrasi yang tulen. Tindakan Israel terhadap Gaza sekarang hanya terus membuktikan betapa Israel adalah rasis, etno-sentrik, ultra-nasionalis dan cenderung ke arah ekstremis.

7. Malaysia, bersama-sama negara-negara lain yang bersependapat, mesti terus memberi tekanan terhadap Majlis Keselamatan PBB (MKPBB) untuk menggalas tanggungjawab seperti mana Piagamnya untuk menamatkan konflik yang berlaku di Gaza kini dan memudah cara dialog antara Palestin dan Israel, tanpa sebarang pra-syarat. MKPBB berisiko tidak lagi dihormati dan tidak lagi relevan dalam urusan antarabangsa jika ia masih berpendirian tanpa sebarang keputusan dalam konflik Palestin-Israel ini, terutamanya dalam konteks semasa. MKPBB mesti kekal tegas bahawa ia sentiasa berpegang menegakkan keadilan dan kemanusiaan.

8. Dalam hal ini, kita memuji usaha berterusan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terus meraih sokongan untuk Palestin, termasuk pertemuan dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia antaranya seperti Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu. Malah usaha ini juga mendapat sokongan penuh rakyat di Malaysia.

9. Sejak 1948, dunia, melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah berulang kali menyatakan hak Palestin ke atas negaranya sendiri. Sejak 1967, dunia juga melalui PBB, telah mengiktiraf dan terus menegaskan bahawa pendudukan Israel ke atas Palestin adalah haram. Pada 2016 sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Malaysia sebagai ahli tidak tetap dalam MKPBB telah berhasil menggunakan platform tersebut untuk menegakkan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka sendiri. Malangnya, naratif media perdana, terutamanya media Barat, sewenang-wenangnya menafikan kebenaran ini.

10. Memandangkan MKPBB setakat ini telah gagal untuk mengambil tindakan dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel, ikhtiar YAB Perdana Menteri untuk berpakat dengan negara-negara yang bersependapat bagi memulakan proses kerjasama antarabangsa yang bertujuan memberi tekanan kepada MKPBB juga harus diberi sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi. Pada masa yang sama, Malaysia juga harus meraih sokongan negara-negara ahli MKPBB yang bersetuju dengan perjuangan Palestin terutamanya China, Rusia dan juga Perancis.

11. Sementelah tidak ada jaminan bahawa konflik penjajahan ke atas Palestin ini akan berakhir, adalah jelas bahawa kita tidak boleh berpatah balik kepada keadaan sebelum tercetusnya perang. Sekatan Israel ke atas Gaza mesti dihentikan, kekejaman Israel terhadap Palestin harus ditamatkan, layanan tidak adil Israel ke atas Palestin perlu dinoktahkan dan rundingan serius yang membawa kepada pembentukan negara Palestin berdasarkan persempadanan 1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara, mesti dimulakan.


YB DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BERTAM, PULAU PINANG

 

****************************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit