‘Sabah Baharu’ Hasil Perjuangan UMNO Demi Rakyat

TELAH terpahat dalam lembaran sejarah Negeri Sabah betapa besarnya sumbangan UMNO kepada kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat Sabah hari ini.

UMNO telah berjaya memartabatkan kedudukan bangsa dalam Sabah dan pada masa sama menabur bakti untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.


Empat jasa terbesar UMNO di Negeri Sabah menjadi kebanggaan rakyat:

1. Lebuhraya Pan Borneo.
2. Bangunan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
3. Bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu
4. Masjid Negeri Sabah.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) UMNO-Barisan Nasional (BN) kalah, tiada lagi satu pembangunan atau projek yang boleh dibanggakan rakyat Sabah. Semua yang kita lihat pembangunan di Negeri Sabah adalah hasil dari pentadbiran UMNO-BN mengemudi Sabah.

Dalam keadaan suasana politik tunggang terbalik hari ini, hanya UMNO sahaja yang masih kekal pada prinsip asal perjuangannya. Alif, Ba, Ta – Agama, Bangsa, Tanah Air (Negara).

Selepas PRU-14 hingga kini ternyata terlalu banyak peristiwa yang telah menjadi penilaian dan perbandingan bukan hanya di kalangan anggota UMNO atau parti-parti politik, malah rakyat keseluruhan termasuk yang sebelum ini enggan endah situasi semasa.

Inilah masa untuk ‘membuka mata’ dan ‘menajamkan minda’ demi masa depan apatah lagi sejak tempoh dari PRU-14, pelbagai krisis berlaku. Dari polemik politik yang tak berkesudahan, wabak pandemik hinggalah kepada ekonomi dan sosial masyarakat.

Sungguh kesusahan ini amat menekan dan memeritkan namun lebih derita apabila pentadbiran kerajaan ketika itu hanya bertindak mengurung rakyat selain minda ditanam rasa takut untuk keluar sedangkan di rumah ada mulut perlu disuap dan ada perut mesti diisi.

Sememangnya kesulitan, kesusahan dan pelbagai rasa yang sebelum ini menyelubungi hidup rakyat diharapkan telah berakhir dan tidak akan berulang lagi dengan keupayaan yang dianggap munculnya cahaya di hujung terowong, dengan UMNO mendepani keupayaan.

Dengan pelbagai bukti yang menjadi realiti, maka ini adalah ruang terbaik untuk kepimpinan dan ahli-ahli UMNO membuktikan bahawa laungan demi rakyat bukan retorik, janji bukan fantasi dan kesediaan berkhidmat bukan cakap kosong.

Hari ini kita melihat ada pula pihak termasuk parti lawan yang ‘mencari kredit’ hasil sumbangan UMNO sejak zaman berzaman. Secara mudah mereka ini mendabik dada malah tanpa rasa malu ‘menuai hasil’ dalam kepompong projek mega yang diilhamkan UMNO.

Tak apalah… memang khidmat UMNO untuk rakyat pelbagai latar belakang sekalipun berbeza ideologi namun janganlah pula bersifat ‘lebih sudu dari kuah’ yang seolah-olah mereka menidakkan jasa UMNO demi kemajuan Sabah.

Insya-Allah! UMNO akan menjadi bidan kemajuan dan pembangunan kembali selepas pilihan raya negeri Sabah kelak.

Untuk itu, teruslah bersama UMNO, kekal ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan usaha untuk memberikan kejayaan secara holistik.

Ayuh kukuhkan saf perjuangan, bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah ‘Sabah Baharu’.



Sharif Musa Sharif Mabul
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit