PDRM Sentiasa Peka, Komited Salur Informasi Modus Operandi Scammer Kepada Masyarakat – Shamsul Anuar

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa peka dan komited agar segala informasi terkini berkaitan modus operandi serta teknik-teknik yang digunakan oleh ‘scammer’ dapat disalurkan kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

“Kementerian Komunikasi dan Digital dan agensi keselamatan siber negara diberi tanggungjawab menggubal, melaksana, memantau serta menyelaras pelan tindakan jangka sederhana ini.

“Strategi ini dirangka berdasarkan lima tunggak utama yang merangkumi 12 strategi, 35 pelan tindakan dan 113 program bagi teras mekasnime keselamatan siber dalam berdepan sebarang bentuk serangan siber.

“Tunggak pertama adalah mempertingkatkan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara. Kedua, memperkukuh penguatkuasaan jenayah siber dan perundangan sedia ada,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Jelasnya, kecanggihan teknologi membolehkan penjenayah dapat berhubungan dengan mangsa dan menghapus jejak mereka sehingga sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

“Tunggak ketiga, memperkasa inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber. Tunggak keempat, mempertingkatkan penggunaan kapasiti dan tenaga mahir bidang keselamatan siber. Seterusnya, memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi melindungi ruang siber negara kita.

“Secara umumnya, antara isu dan cabaran yang dikenalpasti oleh pihak PDRM dalam jenayah siber ini terutamanya penipuan dalam talian adalah peningkatan kecanggihan teknologi maklumat.

“Kecanggihan teknologi maklumat membolehkan penjenayah dapat berhubung dengan mangsa tanpa sempadan dan menghapus jejak mereka agar sukar dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri sentiasa peka dan memandang serius berkaitan jenayah komersial yang semakin berleluasa terutamanya kes jenayah penipuan dalam talian.

“Dalam menangani kes jenayah komersial, pelbagai kaedah dan usaha telah dilaksana agar masyarakat tidak menjadi mangsa kepada jenayah siber. PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Siber sentiasa komited agar segala informasi terkini berkaitan modus operandi dan teknik-teknik yang diguna scammer dapat disalur kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah sama ada secara bersemuka ataupun melalui media sosial.

“Selain daripada itu, PDRM juga sentiasa bersiapsiaga bagi mengatasi ancaman siber dengan mewujudkan unit khususnya untuk menyiasat kes-kes siber antaranya Bahagian dan Siasatan Jenayah Siber Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial… terdapat pelbagai unit dengan pelbagai kepakaran seperti Unit Siasatan Forensik Digital, Unit Polis Siber (Investigation Centre), Unit National Scam Response Centre (NSRC), Unit Technical Siber.

“Oleh demikian, bagi memastikan fungsi unit-unit siber yang sedia ada mencapai objektif, cadangan pindaan dan sesi libat urus telah kita adakan terutama berkaitan undang-undang seperti melakukan pindaan dan meletakkan peruntukan dalam Akta Pencegah Jenayah 1959 bagi membanteras kesalahan jenayah rentas sempadan kemudian beberapa lagi tindakan melalui kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, sebanyak 49,700 panggilan telah diterima sejak penubuhan NSRC dan sebanyak RM24 juta telah berjaya diselamatkan serta dipulangkan kepada mangsa.

“Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 telah mengumumkan kerajaan akan menambahkan peruntukan kepada NSRC sebanyak RM20 juta sebagai usaha untuk memperkukuhkan peranan dan fungsi dan PDRM dalam membendung jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

“Sepanjang tempoh penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sebanyak 49,700 panggilan diterima dan sebanyak 11,040 daripadanya diterima kejadian berlaku dalam tempoh kurang 24 jam, dengan jumlah kerugian sebanyak RM128 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24 juta telah diselamatkan dan dipulangkan kepada mangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.