MinDef Bersedia Hantar Tentera Pengaman Ke Palestin – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Kementerian Pertahanan (MinDef) bersedia untuk menghantar tentera pengaman ke Palestin, namun ianya berlandaskan mandat yang jelas daripada kerajaan mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana pasukan pengaman negara juga sudah bersedia termasuk pada ketika ini yang sedang bertugas di Lubnan.

“Ini adalah isu luar negara sebaiknya diurus Kementerian Luar Negeri. Mereka putuskan dan kami akan ke sana.

“… dan jika ada mandat yang membolehkan kita menghantar tentera pengaman dengan segera bahkan kita memang sudah ada pun di Lubnan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penggulungan Belanjawan Tahun 2024 (Peringkat Dasar) Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini tiada sebarang keputusan oleh PBB untuk menghantar pasukan keselamatan ke Palestin.

“Sungguhpun begitu, MinDef melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga, termasuklah pasukan Pengaman MALBATT yang bertugas di bawah UNIFIL, Lubnan.

“MinDef mengikuti secara dekat perkembangan di Palestin dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Luar Negeri jika diperlukan, bagi membantu urusan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan yang terkesan, di samping memantau tahap keselamatan anggota MALBATT di Selatan Lubnan,” ujar beliau

Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu hadapan dan akan mengambil kesempatan itu untuk membicangkan berkenaan kemelut yang dihadapi di Gaza.

“Dapatkan dahulu suara ASEAN kerana kita mempunyai satu pegangan iaitu ASEAN centrality, kita tidak boleh secara sendiri.

“Kalau negara ASEAN bersetuju untuk kita menghantar dan di bawah panji-panji PBB kita akan kaji tapi ini tertakluk Kementerian Luar Negeri, bukan di bawah kuasa Mindef sebaliknya mengambil apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh kerajaan,” ujar beliau.

Mohamad juga memaklumkan Malaysia sentiasa komited dalam memberi sokongan terhadap usaha mencapai keamanan sejagat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini terbukti sejak tahun 1960, ATM telah terlibat dalam 37 misi, sama ada sebagai Tentera Pemerhati atau Tentera Pengaman, seperti misi pengaman di Congo, Somalia, Namibia, Cambodia, Bosnia Herzegovina, East Timor dan yang terkini di Lubnan.

“Sehingga kini, pihak ATM masih terlibat dalam lima misi antarabangsa di bawah PBB iaitu satu Misi Pengaman di Lubnan (United Nations Interim Force In Lebanon, UNIFIL) mulai tahun 2007, dan empat Misi Pemerhati,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.