Kebimbangan Terhadap Aliran TVET Dan STEM… Shamsulkahar Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen
KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli hari ini bertanya berkenaan sejauh mana komitmen kerajaan dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
Katanya ini kerana anak muda pada masa kini lebih berminat menjadi content creator (pencipta kandungan) dan tidak menyambung pelajaran, malah ada dalam kalangan mereka memilih untuk bekerja dalam bidang gig ekonomi.
“Dalam dokumen pelan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dinyatakan kadar pengambilan pelajar dalam bidang TVET telah berkurang sebanyak 11.6 peratus bagi tahun 2018 dan 2020.
“Dan juga jumlah pelajar sekolah menengah dalam bidang STEM telah menurun sebanyak 5.5 peratus antara tahun 2018 dan 2020.
“Bagaimana kerajaan berusaha untuk menarik minat anak-anak muda iaitu generasi z yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 dalam bidang STEM dan TVET,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal memaklumkan peningkatan kemasukan dalam aliran TVET pada tahap yang tinggi dan konsisten.
Beralih kepada STEM, beliau berkata kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kalangan pelajar bagi menarik minat mereka menceburi bidang tersebut.
“TVET di bawah KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) menunjukkan kemasukan yang konsisten dan berada pada tahap tertinggi sejak tiga tahun terkini. Terdapat peningkatan bilangan pelajar peringkat diploma bagi projek TVET di bawah KPT berbanding kementerian dan agensi lain iaitu 52.7 peratus iaitu 85,535 pelajar pada tahun 2022 berbanding, 45.3 peratus atau 58,424 pelajar pada tahun 2021.
“Berkenaan dengan STEM, KPT sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasa STEM, ketika ini KPT bekerjasama dengan KPM yang sedang menyediakan memorandum jemaah menteri berkaitan haja tuju STEM bagi meningkatkan minat murid dalam bidang ini,” ujar beliau. – UMNO Online