Kaedah 4M Diguna Pakai Untuk Perkasa Medium Penerangan UMNO Sabah – Suhaimi

KOTA KINABALU, 29 Okt – Biro Penerangan UMNO Sabah akan menggunakan kaedah 4M iaitu media bersemuka, media cetak, media elektronik dan media maya dalam memberi penerangan kepada ahli dan rakyat mengenai dasar dan program parti selain penerangan mengenai pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhami Nasir berkata penggunaan 4M itu dilihat lebih berkesan bagi menghebahkan pelbagai maklumat selain dijadikan medium untuk menangkis segala provokasi tohmahan dan fitnah kepada pemimpin dan parti.

“Dalam hubungan ini UMNO Sabah mengambil pendekatan untuk mengadakan Retreat Penerangan UMNO Sabah bagi memberikan kefahaman kepada Ketua-Ketua Penerangan parti empat peringkat seiringan dengan usaha parti untuk memperkasakan Medium Penerangan UMNO,” katanya ketika ditemui selepas majlis peramian Retreat Penerangan UMNO Sabah di sini malam kemarin.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Suffian Abd Karim.

Menurut Suhaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran, retreat yang berlangsung selama tiga hari iaitu 27 hingga 29 Oktober 2023 diisi dengan pelbagai program antaranya Sesi Townhall Penerangan
yang bertajuk Kesediaan UMNO Sabah mendepani PRN di mana ahli panelnya terdiri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Noor Mohamed.

“Selain itu pengisian lain antaranya penerangan media baru, ini termasuklah penulisan kreatif, (teori dan ratikal) suntingan grafik, komunikasi asas pengucapan awam dan komunikasi berkesan dan sesi Townhall Penerangan Mendepani Dinamik Politik Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Suhaimi berkata Biro Penerangan parti merupakan barisan hadapan yang perlu tabah, berani, bijaksana dan membantu parti menghadapi serangan pihak lawan dengan pelbagai tomahan dan fitnah kepada pemimpin dan parti.

“Kita yakin dengan menggunakan gaya komunikasi betul, dengan bantuan platform media sosial yang tepat dan berkesan, Penerangan UMNO Sabah akan memberi impak dan hasil positif kepada parti khususnya dalam menghadapi PRU dan PRN akan datang, “ katanya

Suhaimi berkata komitmen kehadiran ketua penerangan empat peringkat dalam retreat kali ini cukup positif dan ini mencerminkan semangat ahli di peringkat bahagian dan cawangan bersedia ke arah pilihan raya khususnya PRN Sabah yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, kita bertanggungjawab bagi memastikan peranan Biro Penerangan berperanan dengan baik dan berkesan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, jadi kita kita perlu terus berjuang memenangkan parti pada PRU dan PRN akan datang.

“Sebagai barisan hadapan parti, kita juga harus mengangkat kembali reputasi UMNO di mata rakyat. Kita harus pulihkan kembali kegemilangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menerajui negara, disegani kawan dan lawan. Paling penting kemenangan UMNO/BN pada PRU dan PRN akan datang ini biarlah lebih bermakna,“ tambah Suhaimi.

Beliau menggesa setiap bahagian UMNO mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut sekurang-kurangnya sebulan sekali atau dianjurkan bersama dengan program Juara Rakyat.

“Kalau boleh setiap bulan satu aktiviti kerana ini akan menggerakkan UMNO dari peringkat akar umbi dan program mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit