Parlimen: Inisiatif Bantu Pekebun Kecil Getah, Konflik Di Palestin Dibincang Hari Ini

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang berhadapan cabaran harga getah rendah dan konflik di Palestin antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan langkah-langkah dan inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kementerian itu bagi membantu pekebun kecil getah yang berhadapan cabaran harga getah yang rendah.

Perkara itu akan diajukan Adnan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Selain itu Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan kepada Menteri Luar tentang kerajaan yang masih belum menyatakan pendirian dan tindakan lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak agar Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pula mengutarakan soalan kepada Menteri Pengangkutan berkaitan ridership perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad Shuttle Tebrau antara JB Sentral dan Woodlands, Singapura serta ingin tahu sama ada kerajaan sedia berunding dengan Singapura untuk menambah kapasiti perkhidmatan itu daripada 36 trip dua hala kepada sekurang-kurangnya 50 trip.

Turut dijadualkan, Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab meminta Menteri Pengangkutan menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas Rapid KL.

Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) pula meminta Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status terkini penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023.

Persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober ini.

Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November ini. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit