Konflik Palestin Dan Israel Harus Ditamatkan Segera – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan konflik Palestin dan Israel ini harus dinoktahkan segera.

Ini kerana katanya sehingga ke hari ini kuasa-kuasa besar tidak jujur dan menggunakan kuasa veto semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan mengenai isu Palestin.

“Saya menegaskan bahawa isu Palestin harus dimuktamadkan dan kuasa veto mesti dihapuskan kerana tindak-tanduk seperti Amerika Syarikat inilah yang menyebabkan dunia semakin huru-hara.

“Tindakan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembantaian terhadap Palestin dihentikan bagi memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan tidak dapat diterima akal sama sekali. Malah sokongan dari negara-negara Eropah seperti United Kingdom dan Perancis terhadap Israel menjadikan zionis semakin mengganas.

“Buktinya Israel telah hilang kewarasan dan tanpa rasa belas ihsan mengebom hospital Al-Ahli Al-Arabi di tengah Gaza sehingga menyebabkan lebih 500 nyawa manusia yang tidak berdosa sebagai korban dan menjadikan 1.6 juta penduduk Gaza sebagai tawanan yang menunggu masa untuk dibunuh,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan Israel dan negara-negara yang menyokongnya harus diheret ke mahkamah antarabangsa.

“Ini adalah jenayah perang yang terang-terang dilakukan oleh Israel dan disokong dengan negara-negra yang bersubahat. Mereka semua sepatutnya diheret ke mahkamah antarabangsa untuk diadili,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Ismail Sabri turut senada dengan negara-negara lain yang mendesak peperangan ini dihentikan dengan segera.

“Saya senada dengan negara-negara Islam yang lain dan negara-negara seperti Ireland, Sepanyol, Norway, Brazil, Colombia dan Venezuala yang mendesak supaya kegilaan Israel ini dihentikan.

“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab perlu mengambil tindakan tegas terhadap regim kekejaman apartheid Israel yang berterusan melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik.

“Kita kesal kerana sehingga hari ini tidak nampak tindakan tegas yang diambil oleh OIC dan Liga Arab kecuali hanya bercakap kosong semata-mata. Sepatutnya OIC dan Liga Arab menunjukkan pada dunia bahawa semua negara Islam bersatu, bersama-sama dan tindakan tegas diambil oleh OIC dan Liga Arab,” jelasnya.

Untuk rekod, peperangan Palestin dengan Israel yang berlangsung ketika ini disifatkan konflik paling buruk bagi kedua-dua pihak dan berlarutan sejak 7 Oktober lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin terbunuh dan 13,000 cedera sepanjang konflik berlaku. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.