Trek Rekod Terbaik UMNO Mampu Tawan Kembali Kepercayaan Orang Melayu – Rizam

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail meluahkan kepercayaan dengan kebangkitan orang Melayu untuk kembali menyokong UMNO.

Katanya, ini kerana UMNO/Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai trek rekod terbaik dalam mengemudi kerajaan dan semestinya pengalaman tersebut akan terus dibawa pada pentadbiran kerajaan pada kali ini.

“Saya yakin pada akhirnya nanti orang Melayu akan nampak fungsi UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“UMNO sebuah parti yang paling besar di dalam negara kita dan mempunyai trek rekod dasar yang baik. Sekiranya kita bekerja dalam satu pasukan dengan disiplin yang kuat UMNO mampu bangkit pada pilihan raya akan datang.

“Laksanakan dasar yang baik kepada rakyat, sudah tentu mereka dapat melihat bahawasanya kerajaan yang ada ini khususnya UMNO mampu memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Exco Kerajaan Negeri Selangor itu ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar dalam pada itu percaya bahawa BN mempunyai potensi untuk kembali kukuh di Selangor melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk merampas Parlimen Sabak Bernam daripada pembangkang.

Katanya, kerjasama yang terbaik di antara akar umbi, kepimpinan bahagian bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mencari strategi terbaik termasuk dalam mengukuhkan UMNO di negeri ini.

“Yakin di bawah kepimpinan Pengerusi UMNO Selangor, dan Presiden UMNO. Saya percaya kita akan mampu bangkit di bawah kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah kita bina kekuatan kembali di Selangor dan kita sedia maklum, banyak parti yang sebelum ini pun pernah tinggal beberapa kerusi.

“Dap sendiri pernah tinggal dua kerusi DUN di Selangor, begitu juga Pas satu kerusi pada penggal lepas tapi mereka masing-masing bangkit,” ujar beliau.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu BN Selangor meraih kemenangan di dua kerusi DUN iaitu Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

PRN yang turut diadakan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah itu menyaksikan kerjasama buat pertama kalinya antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit