Intervensi Kerajaan Diperlukan Bagi Membangunkan Insan Muda Malaysia – Manndzri

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menjelaskan intervensi kerajaan amat didambakan bagi mewujudkan ekosistem yang lebih baik demi membangunkan Insan Muda Malaysia (IMM) terutama di kala negara bergelut untuk bangkit pulih dari COVID-19.

Jelasnya, peluang yang lebih luas perlu dicipta dan direkayasa merentasi pelbagai skop termasuk pekerjaan, kewangan, jaminan, keselamatan, industri, teknologi, akademik, dan perdagangan dalam usaha untuk memastikan IMM terus dibela dan berkembang demi masa depan negara yang lebih berdaya saing.

“Sokongan kerajaan dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dari segi mencipta pekerjaan, pendidikan mahupun ketersambungan internet, serta peluang yang adil dan sama rata di semua kawasan harus menjadi antara fokus utama pihak kerajaan.

“Usaha merapat jurang ekonomi penduduk luar bandar dan bandar mesti dikecilkan. Jurang Digital juga mesti ditangani, usaha dalam Bajet Madani 2024 ini perlu juga kepada ikhtiar digitalisasi yang menyeluruh agar hasrat ‘E’ dan ‘I’ ekonomi juga boleh dimanfaat oleh Insan Muda Malaysia (IMM) di luar bandar termasuk pendalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Walaupun kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berumur 15 hingga 24 tahun menyusut bagi tempoh empat bulan berturut-turut kepada 11.3 peratus pada Februari 2023 berbanding 11.5 peratus pada Januari 2023, namun ianya masih melepasi paras sebelum pandemik COVID -19 iaitu 9.9 peratus yang dicatatkan pada Disember 2019,” katanya semasa perbahasan tersebut, petang Khamis.

Tambah Manndzri, situasi berbeza pula dengan negara jiran apabila kadar pengangguran bagi rakyat Singapura misalnya, individu berusia 15 hingga 24 tahun turun mendadak kepada 5.9 peratus, berbanding 10.6 peratus pada 2020 dan ini membuktikan perancangan pihak kerajaan Singapura berhasil.

“Kita mungkin boleh meneliti dan belajar sesuatu dengan penyesuaian konteks negara kita,” katanya.

Seterusnya kata Manndzri, ikhtiar melalui Bajet Madani 2024 ini wajar memperhalus dan memperinci pandangan, pendapat dan idea pemegang taruh, badan bukan kerajaan (NGO), pakar dan institusi.

“Idea yang hendak digerak berdasarkan peruntukan yang telah digariskan perlulah mengambil kira suara akar umbi agar Bajet Madani 2024 berkait penciptaan peluang kepada IMM dimilik oleh (owned by) rakyat.

“Golongan belia, IMM perlu dipersiapkan dengan kemahiran baharu dalam mengharungi transformasi landskap teknologi dan digital supaya mampu beradaptasi dengan pasaran kerja dinamik dengan lebih baik pada masa kini dan ke hadapan. Kita ada cabaran melahir tenaga pekerja mahir, modal insan berkualiti yang sesuai dengan zaman,” jelasnya.

Dalam masa yang sama kata Manndzri lagi, pekerjaan tidak formal ini merujuk kepada komuniti ‘precariat’ atau lebih dikenali sebagai ‘pekerja akaun sendiri’ adalah mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan, pekebun kecil dan juga pekerja gig.

“Kecenderungan IMM memilih untuk bekerja dalam sektor gig berbanding menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh jadual kerjanya yang lebih fleksibel serta tiada sebarang tekanan daripada pihak majikan. Menarik bukan?

“Namun, kita tidak pasti sampai bila ekonomi gig ini mampu bertahan, jika dilihat sekarang ini permintaan terhadap penghantaran barang (e-hailing) umpamanya semakin berkurangan tetapi jumlah pekerja bagi industri ini semakin bertambah dari masa ke semasa. Kementerian Sumber Manusia (KSM), telah merekodkan hampir sejuta orang yang terlibat dalam komuniti gig di Malaysia,” jelas beliau.

Ujarnya, ketiadaan identiti pekerjaan ekoran daripada status pekerja gig yang tidak diiktiraf sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955, menjadi golongan precariat dan komuniti gig adalah sesuatu yang mencabar dari segi realiti kehidupan dan sosial. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.