Bajet 2024 Komprehensif, Bawa Kemakmuran Kepada Negara – Norliza

Tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pembentangan Belanjawan 2024 yang komprehensif, meliputi semua segmen masyarakat dan meletakkan Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat marhaen.

2. Selari dengan tajuknya, “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat”, Belanjawan 2024 fokus kepada usaha memperbaiki ketempangan dalam sistem ekonomi negara dengan kebijakan ekonomi yang terarah bukan sahaja kepada pertumbuhan tetapi juga kepada pemerataan ekonomi.

3. Segala langkah yang digaris dalam tiga tumpuan utama Belanjawan 2024, iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat, pastinya akan membawa kemakmuran kepada negara.

4. Segenap lapisan rakyat mesti memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada islah yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan, termasuklah meluaskan asas hasil, melaksanakan subsidi bersasar dan membasmi segala bentuk rasuah dan penyelewengan yang sistemik.

5. Rombakan dan penyusunan semula struktur ekonomi adalah langkah bertepatan dengan masa sekali gus akan membantu usaha untuk meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, termasuk melalui pemberian galakan cukai pelaburan semula dan pemudahan urusan perniagaan.

6. Peruntukan RM58.1 bilion yang disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian Kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan bagi tahun 2024 adalah bukti jelas komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membela nasib dan melindungi kebajikan rakyat.

7. Pengkhususan RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dan penerusan Agenda Bumiputera dengan peruntukan RM1.6 bilion untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera adalah bukti Melayu dan Islam tidak dipinggirkan.

8. Selaku Naib Ketua Wanita UMNO, saya menyambut baik penetapan penanda aras Kerangka Ekonomi Madani supaya kadar penyertaaan wanita dalam tenaga buruh ditingkatkan kepada 60 peratus dan pelanjutan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja kepada 31 Disember 2027.

9. Usaha lebih serius perlu dilakukan bagi membolehkan hasrat Dasar Wanita Negara mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya, termasuk dasar 30 peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan, dapat direalisasikan sepenuhnya.

10. Selaku Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), saya menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

11. Keputusan ini sekali gus membuktikan bahawa laporan sesetengah media sebelum ini bahawa pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN tidak akan diteruskan dalam Belanjawan 2024 adalah satu berita tidak betul yang tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.

12. Masa sama, Perdana Menteri menegaskan pemberian diskaun ini adalah “bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam” dan “hutang mesti dibayar”. Sehubungan itu, PTPTN selepas ini akan lebih komited dalam mendapatkan balik hutang dari peminjam yang mampu tetapi culas membuat bayaran balik pinjaman.

13. Saya juga menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya pada masa hadapan Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.

14. PTPTN juga bersama memberi jaminan akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri supaya tidak ada mahasiswa dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar atau mengambil peperiksaan di universiti awam hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran pengajian.

15. Arahan Perdana Menteri supaya yuran pengajian di universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024 pula adalah selaras dengan jaminan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bahawa ia akan dipastikan tidak dinaikkan.

16. Saya percaya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pendidikan Tinggi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri adalah gandingan terbaik yang akan membolehkan bidang pendidikan tinggi menjadi pemangkin kerangka Ekonomi Madani.

Datuk Norliza Abdul Rahim adalah Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit