Belanjawan 2024: Peruntukan RM393.8 Bilion, Tertinggi Pernah Dibentangkan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Belanjawan Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memperuntukkan 393.8 bilion ringgit iaitu Belanjawan tertinggi pernah dibentangkan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 303.8 bilion ringgit adalah untuk belanja mengurus, 90 bilion ringgit untuk belanja pembangunan dan 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

“Perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling RMK12 sebanyak 15 bilion ringgit lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 415 bilion ringgit untuk tempoh lima tahun.

“Penambahan ini menunjukkan, Kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini dengan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Kata Anwar, sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil.

“Mulai tahun hadapan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.