Malaysia Sentiasa Nyata Bantahan Berterusan Konflik Palestin-Israel – Zambry

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Malaysia sentiasa berterusan menyatakan pendirian dan dukungan terhadap keadaan semasa berkenaan penderitaan dihadapi rakyat Palestin.

Katanya, Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan secara rasmi sejak beberapa bulan lalu seperti mana peristiwa yang berlaku di Jenin.

“Kita berkali kali mengeluarkan kenyataan bantahan berterusan setiap masa. Lantaran itulah sebarang langkah untuk mengeruhkan suasana akan juga kita keluarkan kenyataan-kenyataan membantah tindakan.

“Bukan hanya sekadar mengeluarkan bantahan tapi mengesyorkan kepada badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak secara bersama.

“… kerana tindakan-tindakan uniliteral tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah lantaran itulah kita berkali-kali menyarankan kepada pertubuhan-pertubuhan multiliteral sebagai contoh dalam konteks OIC menyatakan pendirian secara tegas bertindak secara bersama bagaimana kita dapat menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar), pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkenaan pendirian Malaysia berkenaan tindakan Amerika Syarikat yang menghantar kapal perang membantu Israel.

Zambry dalam pada itu berkata Wisma Putra sehingga setakat ini hanya dimaklumkan keberadaan lima rakyat Malaysia yang berada dalam kawasan konflik di Semenanjung Gaza.

Menurut beliau lagi, kedutaan besar Malaysia di Mesir juga telah berjaya menghubungi seorang doktor iaitu Dr Nurul Ain Latif dan sedang berusaha melakukan proses evakuasi.

“Sehingga kini kita mendapat kerjasama daripada kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama dengan lapan warganegara Indonesia di kawasan tersebut

“Beliau berasal daripada Kota Bharu dan telah berkahwin dengan warganegara Palestin dan keadaan mereka berada di tempat yang selamat. Kita juga sedang memantau kedudukan rakya Malaysia sekiranya ada di kawasan-kawasan terbabit.

“Sehingga setakat ini saya sebutkan tadi belum ada laporan-laporan lain yang melibatkan kedudukan rakyat Malaysia melainkan beberapa hari yang lalu ada rombongan melibatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan Baitul Maqdis telah dikeluarkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.