Solidariti UMNO Selangor Bersama Palestin, Sokong Pendirian Kerajaan Tidak Normalisasi Hubungan Dengan Israel
KUALA LUMPUR, 11 Okt – UMNO Selangor meluahkan penghargaan dan sokongan penuh dengan pendirian Kerajaan Malaysia yang tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel dan mengecam keras rejim Zionis yang mengamalkan dasar apartheid.
Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin malah meluahkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam sesi perbahasan atas segala upaya yang diambil untuk mempertahankan dan memperjuangkan hak rakyat Palestin yang telah lama dirampas.
“UMNO Selangor menyokong sepenuhnya ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO semalam berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel.
“Inilah semangat yang ingin kita lihat pada para pemimpin negara menunjukkan kesatuan hati dan suara dalam isu Palestin ini demi memartabatkan hak asasi manusia terutamanya bagi saudara-saudara kita yang telah lama ditindas dan dianiaya di sana,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata, UMNO Selangor teguh, tegas dan tegar menyokong usaha-usaha konkrit dan realistik yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani di dalam mencari penyelesaian yang adil dan berterusan bagi menghentikan konflik Palestin-Israel ini.
“Penyelesaian yang berlandaskan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
“Termasuk pemulihan hak-hak mutlak rakyat Palestin, pemulihan tanah yang dirampas oleh Israel, serta pembebasan dan pengiktirafan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kotanya mesti dimuktamadkan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa UMNO Selangor akan melancarkan tabung “KeranaMu Palestin” di seluruh Bahagian dalam negeri Selangor.
Menurut beliau, ianya sebagai tanda solidariti mereka dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin pada ketika ini.
“Ianya sebagai tanda sokongan dan demi memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukannya,” katanya. – UMNO Online