Komitmen Kerajaan Tambah Baik Tatakelola, Ketelusan Pengurusan Dasar Fiskal Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata satu akta berkaitan pengurusan dasar fiskal dirangka berdasarkan konteks Malaysia bagi memastikan kemampanan kewangan awam, memelihara kestabilan makroekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, akta yang dicadangkan ini mengandungi objektif dan sasaran fiskal yang jelas untuk dicapai oleh kerajaan dalam tempoh jangka masa sederhana.

“Akta yang dicadangkan ini menekankan aspek akauntabiliti Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam menguruskan dasar fiskal dan kewangan awam. Penggubalan akta yang dicadangkan ini menggambarkan komitmen kerajaan bagi menambah baik tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan dasar fiskal negara.

“Ini akan membuka satu lembaran baharu dalam memartabatkan agenda pembaharuan fiskal negara. Ianya akan menjadi nadi dalam penggubalan dasar hasil, perbelanjaan awam, hutang dan risiko fiskal berteraskan kepada prinsip pengurusan fiskal bertanggungjawab.”

Katanya, perjuangan ini tidak akan terhenti setakat ini malah akan diteruskan dengan inisiatif-inisiatif pembaharuan fiskal yang lain termasuk pengenalan Rang Undang-undang yang berkaitan dengan perolehan kerajaan.

“Sifat dan sikap tanggungjawab dalam melaksanakan tugas perlu dijiwai dalam diri setiap pemimpin dan penjawat awam dengan menjunjung ketaatan kepada negara, bangsa dan agama melebihi kepentingan peribadi,” katanya ketika membentang Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru kata Ahmad, sokongan penuh terhadap rang undang-undang ini adalah bukti Ahli-ahli Parlimen semua berjiwa besar dalam mendokong pembaharuan dan penambahbaikan kepada dasar fiskal negara.

“Tetapkan niat yang baik dengan membuat perkara yang betul, supaya kita dapat mewariskan satu teladan buat generasi akan datang,” katanya lagi.

Pembentangan ini turut disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim Chee Keong.

Beliau juga menghuraikan setiap fasal di dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.

“Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, permulaan tarikh kuat kuasa yang akan ditetapkan oleh Menteri Kewangan melalui pewartaan, pemakaian akta yang dicadangkan ini hanya kepada Kerajaan Persekutuan dan entiti Kerajaan Persekutuan serta tafsiran bagi perkataan tertentu. Akta yang dicadangkan ini juga hendaklah dibaca bersama-sama dengan undang-undang bertulis yang berkaitan.

“Mengandungi elemen prinsip umum pengurusan fiskal iaitu kebertanggungjawaban, tanggungjawab, ketelusan dan kesaksamaan antara generasi serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab seperti memastikan kestabilan makroekonomi; mencapai dan mengekalkan kemampanan baki fiskal; mencapai dan mengekalkan tahap hutang yang berhemat dan memastikan pengurusan risiko fiskal yang berkesan.

KUALA LUMPUR 11 Okt–Timbalan menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

“Mengariskan bahawa penggubalan dasar hasil adalah berasaskan prinsip kecekapan, keadilan dan kesaksamaan serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. Menjelaskan pengurusan perbelanjaan awam perlu dirangka dan dilaksanakan secara berkesan dan cekap dengan mengutamakan disiplin fiskal, ketelusan dan keberkesanan ke arah mencapai keseluruhan objektif sosioekonomi,” katanya lagi.

Tambahnya, ia akan menjelaskan pengurusan pinjaman dan hutang yang bertanggungjawab dan berhemat, memastikan obligasi pinjaman dan hutang dipenuhi tepat pada masanya dengan tahap risiko yang munasabah.

“Matlamat meminimumkan dan mengurangkan pendedahan risiko fiskal kerajaan yang merangkumi komitmen kewangan berbangkit daripada jaminan kerajaan, kerjasama awam-swasta dan entiti kerajaan, perubahan indikator ekonomi serta impak daripada bencana alam, perubahan iklim, pandemik dan situasi geopolitik yang akan meningkatkan komitmen kewangan kerajaan.

“Pelan pelarasan fiskal perlu dibentangkan dalam dua keadaan iaitu, pertama, sekiranya berlaku penyimpangan sementara dan kedua apabila sasaran yang ditetapkan dalam Jadual Pertama Akta yang dicadangkan ini tidak dapat dicapai,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.