Ragui Kenyataan Tun M, Asyraf Wajdi Persoal Adakah Pendakwaan Ahmad Zahid Satu Kebetulan

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meragui kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Tun M) dan mempersoalkan adakah peristiwa pendakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu kebetulan.

Menerusi hantaran video di laman TikTok, Dr Asyraf menyatakan bahawa beliau terpanggil untuk mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemu beliau bersama fail-fail tebal.

“Saya terpanggil untuk mengulas tulisan terbaharu Tun Mahathir yang menuduh dan mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada bertemu dengan beliau, membawa fail yang tebal-tebal kononnya mahu membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

“Saya sedikit meraguinya kerana Tun M juga pernah menafikan wujud pertemuan dan mengarahkan Datuk Seri Zahid membubarkan UMNO. Mungkin pada waktu itu Tun terlupa tetapi selepas pada itu Tun juga yang mendedahkannya secara terbuka bahawa memang wujud pertemuan dan menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO.

“Apakah satu kebetulan? Kita harus tanya kepada Tun Mahathir selepas daripada pertemuan yang perakui beliau, dua bulan selepas itu Datuk Seri Zahid dihadapkan ke mahkamah dengan 87 pertuduhan,” katanya.

Menurutnya, dua orang peguam swasta telah dilantik secara kontrak sebagai pendakwa raya untuk mendakwa Ahmad Zahid, begitu juga dengan catatan memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas turut menjadi kemusykilan.

“Kedua, apakah satu kebetulan apabila dua orang peguam swasta yang dilantik secara kontrak sebagai pendakwa raya iaitu Gopal Sri Ram dan Sithambaram untuk menuduh serta dakwa Datuk Seri Zahid.

“Ketiga, apakah juga satu kebetulan apabila Peguam Negara lantikan Tun Mahathir iaitu Tommy Thomas secara berani dan angkuh menulis di dalam memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ dengan secara terbuka mendedahkan bahawa Tun Mahathirlah orang yang mencatur-caturkan pelantikan hakim serta terlibat dalam menentukan pertuduhan-pertuduhan politik secara terpilih terutamanya melibatkan kes-kes berprofil tinggi.

“Inilah antara salah satu tuntutan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas buku Tommy Thomas. Apakah ini juga satu kebetulan? Seterusnya, adakah juga satu kebetulan bahawa wujud memo yang sudah tersebar ditulis oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Akram kepada Peguam Negara pada ketika itu Tommy Thomas, membuat laporan sebagai ketua penyiasat dalam kes-kes yang melibatkan Datuk Seri Zahid dan membuat kesimpulan bahawa tidak ada satu kes pun boleh disabitkan kerana semuanya tidak ada asas untuk didakwa,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, Ahmad Zahid telah dihadapkan ke mahkamah dua hari selepas memo tersebut dihantar kepada Tommy Thomas.

“Tetapi, sekali lagi apakah satu kebetulan apabila dua hari selepas memo itu dihantar kepada Tommy Thomas, Datuk Seri Zahid dihadapkan ke mahkamah dengan pendakwa raya menyatakan secara terbuka di dalam mahkamah beliau dan pihak pendakwa raya akan membuktikan bahawa tidak ada satu sen pun daripada Yayasan Akal Budi dibelanjakan untuk tujuan kebajikan.

“Sedangkan, yayasan itu adalah milik Datuk Seri Zahid dan ditubuhkan pada tahun 1997 ketika beliau memegang pelbagai jawatan di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa, dengan gaji beratus-ribu serta terlibat di dalam pelbagai bentuk perniagaan, juga jual-beli saham.

“Wang-wang inilah yang dibuktikan di mahkamah menjadi sumber utama kepada Yayasan Akal Budi dan apabila seorang demi seorang saksi dibawa ke mahkamah rupa-rupanya terdedah dan terbongkar bahawa wang serta dana yayasan tersebut digunakan untuk pelbagai aktiviti kebajikan termasuklah RM38 juta bagi pembinaan Masjid Tuminah Hamidi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf turut memaklumkan bahawa pertuduhan tersebut jelas mengandungi unsur-unsur pendakwaan terpilih sehinggakan ianya tidak diteruskan bagi memberi laluan kepada penyiasatan lanjut.

“Begitu juga dengan kos operasi sebanyak RM30 juta untuk operasi Maahad Tahfiz Imtiaz Ulul Albab, Melaka dan juga banyak lagi aktiviti-aktiviti kebajikan lain yang melibatkan ratusan ribu hingga jutaan ringgit nilainya. Ini membuktikan secara jelas pertuduhan ini adalah pertuduhan politik yang akhirnya Peguam Negara lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Tan Sri Idrus Harun membuat sebelas alasan meminta mahkamah memberhentikan pendakwaan ini.

“Antara alasannya termasuklah RCI ke atas buku Tommy Thomas yang harus disiasat. Kedua, memo tular yang ditulis oleh Timbalan Pendakwa Raya kepada Peguam Negara yang secara jelas menyatakan bahawa kes ini tidak ada asasnya untuk didakwa,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut meminta semua pihak agar meneliti sebelas alasan yang dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai kenapa kes tersebut tidak diteruskan.

“Ketiga, peguam negara sendiri menyatakan bahawa kes ini adalah kes pendakwaan politik terpilih yang memerlukan siasatan lanjut. Bacalah sebelas alasan yang diberikan oleh Peguam Negara yang memberikan justifikasi mengapa kes Datuk Seri Zahid kalau diteruskan akan menganiayai insan terpaksa bergelut lebih lima tahun, menyebabkan akaun peribadinya dibekukan.

“Beliau juga terpaksa menanggung malu kerana diciptakan persepsi yang pelbagai seolah-olah beliau terlibat dalam korupsi dan rasuah sedangkan yayasan ini adalah miliknya. Wang yang disumbangkan ke dalam yayasan adalah wang daripada sumbernya. Apakah ini semuanya kebetulan? Tanyalah Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan jawapannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit