PRK Pelangai: Amizar Calon Terbaik, Mampu Galas Tanggungjawab – Abdul Rahman

BENTONG, 5 Okt – Tinggal beberapa hari lagi tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada hari pengundian Sabtu ini sudah pasti bukan sahaja rakyat Pelangai malahan seluruh negara tertumpu pada kawasan ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman percaya calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik diberikan mandat pada Sabtu ini.

“Saya percaya calon yang diketengahkan oleh BN, Datuk Amizar Abu Adam adalah merupakan salah seorang calon yang terbaik. Saya sangat-sangat berkeyakinan beliau boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan Pelangai ini.

“Saya melihat respon masyarakat Pelangai terhadap calon BN selama berada di sini meningkat dengan tambah tinggi daripada hari penamaan. Mungkin rakyat Pelangai masa itu belum mengenali beliau tetapi sekarang majoritinya sudah mengenalinya dan sudah mula jatuh hati untuk membantu kemenangan calon BN.

“Kita doakan beliau berjaya pada 7 Oktober ini dan berkeyakinan akan memperolehi kemenangan pada Sabtu ini yang keputusannya akan dikeluarkan malam Sabtu atau Ahad dan tempoh waktu mengundi pada 6 petang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra dan Santuni Saudaraku di Kampung Orang Asli Hulu Semeii di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Negara, Datuk Ajis Sitin, Setiausaha Kerja UMNO Negeri Melaka, Datuk Mustapha Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, S. Shanmugan serta pengundi-pengundi Kampung Hulu Semeii.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Kerja Raya menjelaskan di peringkat pusat hendak membangunkan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang pastinya memberi impak yang besar kepada kemakmuran Pelangai.

“Jalan ini melibatkan pembiayaan sebanyak RM987 juta yang hanya panjang 35 kilometer dan dari segi Jabatan Kerja Raya (JKR) ‘design’ semua sudah siap. Dari segi permohonan pihak kami sudah mohon dan sokongan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ini diutarakan oleh bekas ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan menjadi salah satu LTU tersebut.

“Difahamkan jalan LTU menjadi salah satu keutamaan ianya sangat memerlukan dan membina satu jambatan kemungkinan dari Kampung Hulu Semeii ke Pelangai dan Pelangai menuju ke negeri Pahang dan negeri Pahang menuju ke pusat dan bagaimana hendak membantu dari segi pembangunan itu sendiri.

“Projek ini sekiranya dilaksanakan akan memberi impak besar kepada Pelangai terutama dalam aspek limpahan dan kemakmuran ekonomi kepada penduduk di sini,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua UMNO Bahagian Lipis itu, projek di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) dan akan dibahagikan kepada tiga fasa pembinaan.

“Bajetnya tinggi kerana ia melihatkan pembinaan pelbagai infrastruktur seperti jambatan dan mungkin pengambilalihan tanah.

“Sebaik sahaja peruntukan diluluskan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dan kita jangka mengambil masa empat tahun untuk disiapkan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit