Pelbagai Segmen Ekonomi Masyarakat Setempat Termasuk Anak Muda Antara Tumpuan Amizar
BENTONG, 4 Okt – Penglibatan golongan muda menerusi pelbagai sektor ekonomi di Pelangai akan terus diberi tumpuan dalam usaha membantu untuk meningkatkan lagi sumber ekonomi penduduk termpatan secara menyeluruh.
Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata anak-anak muda yang terdiri daripada pelbagai kluster ekonomi perlu disentuh mengikut segmen yang diminati.
Menurut beliau sebagai contoh hari ini mereka yang meminati aktiviti sukan lasak pacuan empat roda (4×4) mempunyai perancangan tersendiri dan pihaknya akan membantu untuk mempromosi segala aktiviti yang berkaitan sekaligus akan menjadikan Pelangai daya tarikan pelbagai pihak.
“Anak muda pelbagai kluster dan perlu disentuh mengikut segmen yang diminati. Dan hari ini, setelah berbincang dengan rakan-rakan di sini mereka juga ingin bekerjasama dengan kita untuk mempromosikan industri yang boleh kita bangunkan.
“Ramai juga masyarakat di luar sana yang berminat dengan ‘adventure’… lokasi juga sangat menarik di Chemomoi ini,” katanya.
Terdahulu beliau menyantuni anak muda pada program Santai Anak Muda Pacuan Empat Roda (4×4) di kawasan ladang sawit, di sini, pagi tadi.
Amizar seterusnya menambah industri berkenaan sememangnya boleh memberi kesan langsung kepada masyarakat setempat. Turut serta Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa.
“Trek atau laluan di lokasi kelapa sawit akan dipilih secara berbeza dan pihak penganjur telah susun…ada pakej tertentu yang pihak penganjur tentukan. Tugas kita promosikan lagi industri ini yang akan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat. Anak muda yang bangunkan industri pacuan empat roda 4×4.
“Salah satu industri yang menarik serta penglibatan anak-anak muda. Mereka dah siapkan dengan pelbagai pakej termasuk homestay, tempat lawatan pertanian dan sebagainya.
“Pelbagai ekonomi hiliran lain juga akan diberi tumpuan untuk anak-anak muda termasuklah industri ternakan dan ini juga boleh dibangunkan bersama dengan anak-anak muda dan masyarakat setempat secara menyeluruh, insya-Allah,” ujarnya.
PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online