KKDW Sokong Penuh Usaha Kerajaan Tingkat Keterjaminan Makanan, Ringan Beban Kos Sara Hidup Rakyat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi sokongan penuh kepada program yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat terutamanya penduduk luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dunia kini masih berhadapan dengan cabaran rantaian bekalan makanan, kenaikan inflasi, pemanasan global dan perubahan iklim.
“Sektor pertanian antara sektor yang menerima kesan langsung disebabkan faktor-faktor tersebut yang telah membawa kesan langsung kepada kesejahteraan seluruh rakyat.
“Oleh itu, selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) yang menggariskan beberapa strategi untuk mempertingkatkan peranan luar bandar sebagai hab keselamatan makanan negara, KKDW sendiri telah menjalankan pelbagai inisiatif seperti program Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang mengoptimumkan pembangunan di tanah-tanah terbiar dalam beberapa perkampungan sedia ada dengan membangunkan niche product dan dikembangkan supaya wujud ekonomi berskala besar.
“KKDW melalui FELCRA telah membangunkan estet padi FELCRA di Seberang Perak dengan keluasan 3,263.82 hektar. Hasil keluaran kasar untuk 2 musim setahun sehingga pertengahan 2023 ialah sebanyak 23,737 mt,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, FELCRA pula akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hingga 20,000 hektar tanah untuk penanaman padi secara berkelompok.
“Usaha ini juga diharapkan dapat membantu Kerajaan menstabilkan stok penimbal beras yang disasarkan mencapai 290,000 tan pada tahun ini dan meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW juga akan meneruskan pelaksanaan program peningkatan sekuriti makanan melalui penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, penternakan lembu dan ayam serta melaksanakan projek-projek akuakultur.
“Dalam hal ini, KKDW akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan Tahap Sara Diri yang disasarkan dapat dicapai,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, beliau telah meminta pasukan di KKDW mengenalpasti tanah yang sesuai termasuk tanah terbiar untuk projek keterjaminan berskala besar seperti yang dilaksanakan di kawasan pertanian Sungai Sembrong Kiri, Kluang dengan keluasan 176 ekar.
“Jangkaan hasil daripada program ini adalah pengeluaran buah kelapa mentah sebanyak 600 metrik tan setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM483 ribu setahun.
“Selain itu, jangkaan hasil pengeluaran santan adalah sebanyak 180 metrik tan setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.4 juta setahun.
“Akhirnya, di dalam mesyuarat Mesyuarat Pengerusan Tertinggi hari ini juga, saya mahukan kerjasama di antara agensi-agensi di bawah Kementerian dan agensi-agensi di Kementerian lain khususnya di KPKM dipertingkatkan termasuklah mendapat mendapatkan bantuan dan sokongan dari segi latihan, kemahiran, penyelidikan dan pemasaran termasuk bimbingan dan khidmat kepada pengusaha aktiviti pertanian di bawah KKDW,” katanya lagi. – UMNO Online