Respon Sangat Positif, Kekal Ziarah Pengundi – Noraini

BENTONG, 28 Sept – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menunjukkan respons positif untuk menyokong dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 7 Oktober depan, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, walaupun mendapat maklum balas yang sangat positif dari penduduk Pelangai, namun Wanita BN berharap pengundi di kawasan tersebut keluar mengundi termasuklah mereka yang berada di luar agar pulang dan mengundi BN.

“Respons pengundi di Pelangai sangat positif dan Wanita UMNO/BN telah berjumpa pengundi dari rumah ke rumah dan menyatakan kesediaan untuk membantu parti ini.

“Sekiranya ada respons positif namun pengundi tidak keluar mengundi pun tidak akan dapat manfaat apa-apa kepada BN dan mohon agar pengundi yang berada di DUN Pelangai mahupun berada di luar diharapkan dapat pulang dan mengundi BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan calon yang diketengahkan oleh BN adalah sangat tepat serta calon tempatan selain dikenali di kawasan tersebut.

“Calon BN bagi kerusi DUN Pelangai Datuk Amizar Abu Adam adalah calon tempatan dan aktif di seluruh Pelangai dan percaya beliau adalah paling layak dan dapat menyuarakan isi hati dan suara penduduk tempatan sekiranya dipilih oleh pengundi-pengundi Pelangai.

“Beliau adalah calon sangat tepat, bersama parti yang tepat juga dan disebabkan itu jentera Wanita UMNO/BN sama ada dari bahagian-bahagian ataupun dari negeri-negeri angkat akan  terus membantu beliau untuk kemenangan BN,” ujarnya.

Bagi PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari Sabtu lalu iaitu selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 6 Oktober nanti.

Daftar pemilih yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bagi DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Sabtu 7 Oktober hari mengundi di Pelangai sementara 3 Oktober sebagai hari undi awal. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit