PRK Bukan Platform Caci-Maki, Apatah Lagi Adu Domba – Alwi
BENTONG, 28 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Alwi Che Mat berkata pilihan raya bukanlah medan untuk maki hamun apatah lagi untuk adu domba antara satu sama lain yang akhirnya menyebabkan perpecahan.
Justeru beliau menegaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah platform kepada warga setempat untuk memilih wakil rakyat dan bukannya tempat untuk mencaci sesiapa.
“Pilihan raya bukan untuk maki orang, caci orang tetapi bersama-sama memilih pemimpin yang akan wakilli kita di DUN. Sebab itu kalau ada sesiapa tidak kira jawatan apa dan dari negeri mana sekali pun, jika adu domba akan terkeluarlah daripada prinsip Islam yang menyeru kebaikan. Kita mesti menyeru ke arah kebaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi, di Bilik Gerakan BN PDM Chemomoi, di sini malam tadi.
Sesi berkenaan turut menampilkan Timbaan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pimpinan lain.
Alwi seterusnya menambah dalam Islam, berbeza pendapat adalah perkara biasa namun perselisihan pandangan tidak boleh menyebabkan perpecahan.
“Perselisihan pendapat tidak boleh pecah belahkan ummah. Perselisihan kita dengan PN…tidak boleh kata nista… hina mengina dan inilah prinsip Islam dan inilah prinsip dipegang UMNO dulu, kini, selamanya,” tambahnya.
Atas dasar itulah tambah beliau yang juga Ketua UMNO Ketereh, BN meletakkan calon yang berkebolehan dan boleh diharapkan untuk warga DUN Pelangai.
“Sebab itu kita pilih calon terbaik… bukan calang-calang anak tempatan dan insya-Allah yang akan jadi wakil kita di sini.
“Cuma jangan nanti pada hari pengundian ada warga Felda tidak keluar mengundi dan mesti buat pilihan… ini tanggungjawab kita untuk buat pilihan,” ujarnya lagi. – UMNO Online