Pihak Lawan Ketiadaan Modal, Terus Guna Persepsi Di Pelangai – Wan Rosdy

BENTONG, 28 Sept – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail percaya pihak lawan akan berterusan memainkan persepsi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang tidak berasaskan fakta.

Ini kerana katanya kerajaan negeri berjalan pada landasan yang sebenar terutama membabitkan kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Kita Pahang buat cara Pahang… Biarkan cara mereka dengan macam-macam… sekularlah… sebab apa dia bercakap begitu… memang kita tidak ‘perfect’ tetapi mereka tidak sentuh kerajaan negeri, soal kutipan hutang, projek pembangunan dan sebagainya jauh daripada negeri mereka.

“Jadi dia buat persepsi… sampaikan Perdana Menteri berucap di luar negara pun jadi modal di sini… pasal apa tak cerita Perdana Menteri baca khutabah… nak pesong pemikiran kita… sebab itu saya cakap di mana-mana tempat cubaan mereka timbulkan fitnah dan bukan kepada prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi, di Bilik Gerakan BN, PDM Chemomoi, di sini malam tadi.

Sesi ramah berkenaan turut menampilkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Alwi Che Ahmad dan pimpinan lain.

Wan Rosdy seterusnya menambah rakyat perlu melihat kepada prestasi kerajaan negeri khususnya dalam pelbagai aspek.

“Untuk alihkan pemikiran pengundi itu dia main persepsi. Jadi sepertimana yang selalu sebutkan jangan termakan persepsi dan fitnah.

“Sebab itu pemimpin mereka yang datang tidak sentuh tentang kerajaan negeri sebab mereka tahu kita boleh jawab,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit