PRK: Kempen Bersemuka Dan Media Sosial Terus Digiatkan – Shabery Cheek
BENTONG, 28 Sept – Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain kempen bersemuka tidak terkecuali Barisan Nasional (BN) juga berkempen dalam media sosial bagi menjelaskan segala permasalahan yang dibangkitkan.
“Kempen-kempen melalui media sosial terus ditingkatkan untuk mendapatkan info serta menjawab segala isu yang dibangkitkan dan mengetengahkan isu-isu yang perlu diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di dataran Felda Kemasul, malam tadi.
Turut hadir ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Datuk Zahida Zarik Khan, pimpinan Felda dan warga Felda Kemasul.
Seterusnya, kata Shabery Cheek jaminan yang diberikan oleh kerajaan yang stabil membolehkan agensi Felda terus bertahan.
“Masa depan Felda bergantung kepada kestabilan kerajaan sekarang ini. Apabila menukarkan kerajaan kebiasaannya akan menimbulkan keresahan orang ramai.
“Pilihan raya ini bukannya menyusahkan kerajaan tetapi hanya memilih seorang wakil rakyat yang boleh membantu para peneroka sekaligus untuk generasi kedua dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Ini kerana golongan berkenaan memerlukan wakil untuk berhubungan yang tepat, bukan sahaja kerajaan negeri tapi juga kerajaan Persekutuan malah Felda itu sendiri,” ujarnya.
Dalam masa yang sama Shabery turut memaklumkan bahawa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agak perlahan namun program-program ceramah giat diadakan yang dihadiri warga tempatan.
“Kempen PRK DUN Pelangai ini masih boleh dikatakan tidak rancak lagi kerana minggu pertama berkempen tapi di tempat-tempat lain seperti kampung tradisional dan kampung baharu juga rancak dan sering diadakan ceramah-ceramah.
“Bagi pihak BN, dapat dilihat Wanita UMNO telah melakukan pusingan pertama gerak kerja menyantuni masyarakat dari rumah ke rumah serta menziarahi penduduk-penduduk yang sakit di kawasan ini,” jelas beliau – UMNO Online