Yakinkan Pengundi, Pertahankan DUN Pelangai Sebagai Bukti UMNO Tetap Disayangi – Ismail Lasim
BENTONG, 27 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata UMNO adalah sebuah parti yang berstruktur dan cukup berbeza dengan parti-parti yang lain.
Justeru beliau berharap seluruh jentera dapat meyakinkan pengundi agar membuat pilihan yang terbaik dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober depan.
“Orang UMNO jangan lari, kita perlu yakinkan pengundi bahawa UMNO adalah pilihan terbaik. Maka jangan terpengaruh disebabkan mendengar cerita-cerita dari pihak luar. Kita pastikan kebangkitan ini bermula di Pelangai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya harap ahli UMNO perkukuhkan pendirian kerana bukan senang hendak mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang dimiliki oleh UMNO berpenggal-penggal dan takkan kali ini kita nak ubah pendirian apabila dengar hasutan dari luar. Siapa dia nak beri hasutan? Ini tempat kita dan kita yang tahu senang atau susah ditempat kita.
“Inilah masanya dan ketikanya apabila dikatakan UMNO tidak kuat waktu ini maka membuktikanlah bahawa parti ini masih disayangi semua pihak. Kita nak perkuatkan parti ini dengan berbagai cara dan yang utama berikan kemenangan pada calon serta pastikan undi ahli keluarga diberikan pada calon UMNO. Kita pun minta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) juga terus menyokong dan mengundi calon UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian di bilik gerakan Kampung Lembah Jaya, Pelangai, ketika kempen sempena PRK Dun terbabit.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Exco Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling seterusnya menambah, yang menjadi calon pada PRK Pelangai adalah daripada UMNO dan seluruh ahli perlu sama-sama membantu kejayaan parti nanti.
“Kalau kita sayang calon UMNO yang bertanding ini maka sokonglah sepenuhnya calon tersebut. Sebelum kita minta rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan menyokong UMNO…dan paling penting sekali kita minta penduduk di sini menyokong parti kita.
“Dahulu ramai yang mengatakan bahawa PRK di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang bertanding bukannya calon UMNO tapi kita tetap membantu dan menang pada pilihan raya lalu, tapi di Pelangai kini adalah calon dari UMNO maka harus kerja kuat dan berikan kemenangan pada calon UMNO.
“Dahulu Allahyarham memenangi lebih empat ribu majoriti tapi sekarang ini kita harus tingkatkan lagi undi kemenangan dan insya-Allah kita sama-sama berusaha,” katanya.
Tambahnya sekiranya mahu lihat UMNO seperti dahulu, diyakini dan kuat semula maka Pelangai ini adalah permulaannya.
“Kita mahu pertahankan UMNO sampai bila-bila… untuk masa depan generasi masa akan datang. Ada parti yang lain perjuangannya bermusim tidak sama dengan UMNO. Pastikan keluarga kita mengundi calon Pelangai dan memenanginya pada 7 Oktober ini,” jelas beliau. – UMNO Online