Isu Sentimen Agama Yang Menjalar Di Pelangai Sekadar Pesongkan Pemikiran Pengundi – Wan Rosdy
BENTONG, 27 Sept– Isu dan sentimen agama yang terus menjadi bahan kempen oleh pihak pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Pelangai dilihat sebagai langkah memesongkan pemikiran pengundi kepada hakikat yang sebenarnya.
Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang melihat langkah berkenaan diambil oleh pihak lawan memandangkan kawasan tersebut terdiri daripada 80 peratus pengundi Melayu.
Bagi beliau pokok pangkalnya mereka cuba mengelirukan pengundi dengan memainkan perspsi dan sentimen agama untuk menutup prestasi yang kerajaan negeri telah lakukan selama ini.
“Sebenarnya pihak pembangkang cuba memainkan sentimen agama sebab mereka tahu di Pelangai ini lebih kurang 80 peratus pengundi Melayu beragama Islam. Jadi bagi tujuan untuk memesongkan pemikiran pengundi-pengundi ini kepada kerajaan yang ada pada hari ini, mereka cuba menyentuh isu agama.
“Sebab itulah isu 3R (agama, bangsa, raja) ini tidak dibenarkan kerana boleh mewujudkan keadaan yang tidak selesa sebab negara dan negeri kita ini adalah masyarakat majmuk. Jadi sentimen kepada kawan-kawan lain harus kita hormati.
“Perlembagaan kita telah jelas menyatakan Islam agama rasmi Persekutuan tetapi pada masa yang sama agama-agama lain boleh dianuti. Jadi ini sudah jelas… jadi apa lagi pihak pembangkang ingin mainkan mengatakan ini islamick ini sekular dan sebagainya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, malam tadi.
Terdahulu beliau mengadakan ramah mesra bersama calon BN DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam dengan masyarakat setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pelangai.
Wan Rosdy seterusnya menambah kerana itulah tidak pelik mereka terus mengambil pendekatan sedemikian dan berharap rakyat khususnya pengundi DUN Pelangai tidak terpengaruh.
“Kerana mereka percaya dengan cara itulah mereka rasa boleh memesongkan pemikiran rakyat dengan memainkan sentimen dan mewujudkan persepsi bahawa kerajaan Pahang yang ada pada hari ini bukanlah sebuah kerajaan sepertimana kerajaan mereka… tetapi di Pahang ini Alhamdulillah…. Jadi janganlah terpengaruh dengan sentimen dan persepsi kerana dalam mana-mana penilaian pun prestasi akan jadi ukuran. Jadi pengundi-pengundi Pelangai saya harap terutama sekali anak-anak muda kena nilai prestasi kerajaan negeri yang ada pada hari ini berdasarkan apa yang telah kita buat,” tambahnya.
Beliau turut memberikan contoh bagaiman tumpuan dalam aspek kebajikan serta tumpuan dalam sektor pendidikan selain memperkasakan berkaitan Islam.
“Enakmen murtad… ini menunjukkan kerajaan Pahang yang telah lakukan dalam soal tersebut. Kalau dulu tidak ada Enakmen Murtad di Pahang dan ini sebelum PRU lagi… mana tidak Islamnya… kalau tidak Islamnya kita tidak akan buat Enakmen Murtad dan sebagainya lagi. Kalau tidak silap saya enam enakmen telah kita mulakan.
“Begitu juga dengan anak-anak kita yang ingin belajar di Timur Tengah. Mesir sebagai contoh. Saya sendiri ambil inisiatif berjumpa dengan pihak Al-Azhar minta supaya ditambahkan kuota… tidak ada masalah dan ditambahkan kuota dan dalam masa yang sama pelajar kita daripada Universiti Islam Sultan Abdullah telah diberi pengecualian iaitu apabila mereka mendapat diploma dan mohon di Universiti Al-Azhar mereka boleh masuk tahun tiga.
“Pada masa yang sama Yayasan Pahang telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk memberikan pinjaman atau biasiswa kepada anak-anak Pahang yang ingin belajar di Timur Tengah. Selain daripada Jordan dengan Mesir kita akan buka Morocco untuk hantar anak-anak kita belajar.
“Contoh lain dalam soal jemaah haji… Tahun ini kita bagi RM500 jemaah haji daripada Pahang yang akan tunaikan haji dan tahun depan kita naikkan RM750. Apa maknanya… maknanya kita menyanjungi rakyat negeri Pahang yang pergi menunaikan haji dengan pemnberian sedikit saguhati.”
Tambahnya lagi atas hakikat itulah diharapkan rakyat tidak terkeliru dengan mainan agama ini kerana mereka (pembangkang) sangat percaya dan sangat yakin hanya dengan mainan agama inilah yang boleh memindahkan sokongan kepada mereka. – UMNO Online