Tahniah Kerajaan Pas Kelantan, Jangan Jadi Raja Musang Berbulu Ayam Kepada Rakyat

1. TERLEBIH dahulu saya ucapkan tahniah atas kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan nama Kelantan sebagai sebuah negeri yang memiliki ladang Musang King Terbesar di Malaysia.

2. Tapi saya sedikit hampa, apabila mengetahui ladang tersebut bukanlah milik kerajaan negeri atau mana-mana syarikat milik kerajaan negeri. Ladang tersebut adalah milik sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bukan Bumiputera Kelantan.

3. Semasa berkempen memenangi hati rakyat Pas Kelantan selalu memomokkan kepada rakyat bahawa negeri Kelantan sebuah negeri Melayu akan terancam di bawah penguasaan pihak lain tapi apa yang sebenarnya terjadi sebaliknya.

4. Sedikit saya cuba huraikan dapatan saya kepada rakyat supaya rakyat turut sama boleh berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pas Kelantan.

5. Sindiyan Plantation merupakan sebuah syarikat yang mengusahakan ladang Musang King di Tanah Tingi Lojing, Gua Musang Kelantan dengan memiliki keluasan sebanyak 9,588 ekar, di mana hampir kesemua Ahli Lembaga Pengarahnya adalah bukan Bumiputera Kelantan dan seorang wakil dari Navis Capital syarikat pelaburan diasaskan oleh Richard Foyston berpengkalan di Kuala Lumpur, Singapura dan Hongkong.

6. Pertanyaan saya apakah faedah langsung yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri Kelantan dari kerjasama ini, apakah pula faedah yang diterima kepada rakyat Kelantan dari pengiktirafan ladang Musang King terbesar di Malaysia? Adakah dengan sedikit bayaran berbaloi untuk kerajaan negeri?

7. Difahamkan melalui laman web syarikat ini, unjuran perolehan tahunan dari ladang ini kelak akan mencecah sebanyak USD1.5 bilion (RM7.037 bilion), terlalu besar keuntungan yang diperolehi syarikat dengan air mata rakyat Kelantan yang ramai masih tidak memiliki tanah, malah lebih menyedihkan jumlah ini melebih tujuh (7) kali ganda peruntukan Belanjawan Negeri Kelantan untuk setahun.

8. Amat memalukan, perkara berkaitan pertanian pun Kerajaan Negeri Kelantan gagal usahakan walau peluang di depan mata sendiri usahkan mahu majukan negeri dengan sesuatu yang memerlukan teknologi tinggi, di mana golongan kepimpinan teknokrat yang dibanggakan sebelum ini?

9. Saya mendapat maklumat, sebenarnya, bukan satu syarikat sahaja yang mengusahakan ada sebuah syarikat lagi iaitu M7 Plantation Berhad yang mengusahakan ladang Durian Valley di kawasan Pos Simpor yang menjadi kontroversi dengan masyarakat Orang Asli sedikit masa lalu.

10. Dalam isu, ladang Durian Valley pula ia melibatkan kawasan seluas 2,200 ekar yang dikatakan melibatkan kawasan yang asalnya adalah kawasan untuk projek Tanaman Getah Klon (TLC).

11. Projek Durian Valley ini pula, menjual pokok secara ‘contract farming’ dengan harga RM5,212 untuk satu pokok kepada ‘orang awam’, namun saya pasti orang awam anak Kelantan ramai yang tidak tahu mengenainya walau pemasaran untuk ‘contract farming’ ini sampai ke Hong Kong.

12. Bekas juara badminton dunia, Li Yong Bo pula dikatakan memiliki hampir 1,440 pokok di Durian Valley.

13. Kesan alam sekitar dirasai oleh penduduk Gua Musang sendiri dan mengalir melalui sungai Kelantan untuk mereka di hilir pun terjejas, kawasan penanaman durian ini memerlukan jarak antara pokok lebih luas dan tidak seperti tanaman TLC yang ditanam rapat. Kekuatan tanah dari terhakis itu terjejas dengan lebih mudah.

14. Gesaan saya, rakyat Kelantan sudah berikan mandat besar untuk kalian memerintah, maka ia adalah amanah yang berat untuk dipikul untuk menjaga kepentingan rakyat, janganlah dengan mandat besar ini Kerajaan Pas Kelantan sendiri menjadi RAJA MUSANG BERBULU AYAM DENGAN RAKYAT. – UMNO ONLINE

AYUH SELAMATKAN KELANTAN DULU!

SEKIAN.

Mohd Azmawi Fikri Hj Abdul Ghani
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit