PM Anwar Ketuai Delegasi Malaysia Ke Unga Ke-78

NEW YORK, 19 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, bermula hari ini hingga 26 Sept ini di sini.

Pada penampilan pertama beliau di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu, Anwar akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan tindakan yang diambil bagi mencapai Agenda 2030.

“Perdana Menteri juga akan berkongsikan mengenai kerangka Malaysia MADANI… amat penting untuk kita memberitahu kepada dunia mengenainya,” kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Menurut Zambry, Perdana Menteri yang dijadual tiba di sini pada Rabu akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum, pada Jumaat.

Anwar akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

Perbahasan Umum yang bermula hari ini hingga 26 Sept akan menyaksikan pemimpin negara dan kerajaan dari 157 negara serta 35 menteri menyampaikan Kenyataan Negara mereka di ibu pejabat PBB.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all”.

Zambry berkata kehadiran perdana menteri di UNGA dijangka mendapat liputan penting kerana ramai pemimpin negara lain yang ditemui sebelum ini menyatakan bahawa mereka menantikan ucapan Anwar kerana pengalaman dan kepimpinannya.

“Perdana Menteri juga akan bercakap mengenai konflik global termasuk krisis Ukraine serta isu Palestin dan Myanmar yang berlarutan,” katanya.

Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) pada Jumaat ini, sekali gus pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu.

Anwar juga akan menjadi hos majlis makan malam untuk 1,000 diaspora Malaysia pada Jumaat, kata Zambry dan menambah terdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia menetap di negara ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit