Tangkis Persepsi Negatif PN… Sampaikan Naratif Kerjasama Kerajaan Perpaduan Kepada Ahli, Pengundi

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Para pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menyampaikan naratif mengenai kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan secara jelas kepada ahli dan para pengundi bagi menangkis segala tohmahan pihak lawan yang menjadikan isu ini sebagai laba politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Kerajaan Perpaduan juga perlu untuk memberi bukti kepada rakyat bahawa pentadbiran mereka selama satu penggal ini bakal memberikan manfaat dari pelbagai sudut.

“Pertama, kita perlu memastikan bahawa penyampaian naratif dan juga perkara-perkara penting mengenai kerjasama ini dapat diperjelaskan dengan baik bukan sahaja kepada ahli bahkan para pengundi. Ini adalah bagi mengelakkan Perikatan Nasional (PN) daripada mengambil kesempatan dan memomokkan persepsi negatif khususnya 3R (raja, bangsa, agama) tentang kerjasama ini.

“Selain itu, kita juga perlu membuktikan bahawa kerjasama BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan negara dalam sektor ekonomi, kestabilan politik, sosial dan sebagainya.

“Ini perlu diperkemaskan lagi khususnya apabila kita telah mempunyai satu kerajaan yang begitu stabil di peringkat persekutuan dan beberapa negeri lain. Dalam semangat Kerajaan Perpaduan ini kita perlu memperlihatkan ini adalah sebuah kerajaan yang mewakili suara rakyat Malaysia tidak mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, tiada satu pun parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan ini mengenepikan Perlembagaan Persekutuan bahkan mempertahankannya sedaya mungkin.

“Tetapi, matlamat dan objektif kerjasama ini jelas sebab tiada satu pun parti dalam Kerajaan Perpaduan ini mengenepikan perlembagaan persekutuan, undang-undang negara Malaysia, semangat rukun negara dan sebagainya.

“Kita semua menjunjung dan mempertahankan perlembagaan persekutuan. Jadi, itu adalah naratif dan juga perkara lebih penting untuk kita buktikan disamping dengan perkara-perkara lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Imran turut beranggapan bahawa UMNO telah pun melalui fasa bangkit sejak tahun 2018 dan ianya perlu diteruskan.

“Sebenarnya UMNO telah pun berada dalam fasa bangkit sejak penggal lepas. Kalau kita masih ingat, laungan ini dibawa oleh semua pucuk pimpinan termasuklah Pergerakan Pemuda dibawah pimpinan Datuk Dr Asyraf Wajdi, ‘Pemuda Bangkit Kembali’.

“Semangat kebangkitan itu telah pun bermula sejak daripada 2018 dan hari ini, bagaimana untuk kita membawa parti ke hadapan. Kita telah bangkit dan hari ini adalah gerak kerja dan semangat untuk kita terus melangkah, kemudiannya bergerak terus ke hadapan.

“Ini bukannya satu titik tolak tetapi ini adalah satu indikasi bahawa UMNO hari ini telah bergerak ke hadapan dengan semangat dan lembaran baharu, membawa satu naratif ataupun kebaikan kepada rakyat dan juga negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit