Berhimpun Konon Selamatkan Malaysia, Tindakan Biadab Pemuda PN

Berhimpun secara aman adalah hak rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun berhimpun dan berarak dengan tema Selamatkan Malaysia dengan intinya mendesak Zahid agar didakwa pada Hari Malaysia iaitu pada 16 September 2023 adalah tindakan yang bodoh dan biadab dari Pemuda Pakatan Nasional atau PN.

Bodoh kerana adakah dengan mendakwa kembali Zahid yang telah dilepaskan oleh mahkamah mampu menyelamatkan Malaysia dari konflik politik dan krisis ekonomi?

Adakah sebegitu besar ancaman yang didatangkan oleh Zahid Hamidi sehingga perlu mengadakan perhimpunan dan perarakan pada Hari Malaysia? Kalau mahu berhimpun dan berarak, kenapa perlu mencemari Hari Malaysia iaitu hari untuk mengingati penubuhan negara ini?

Bukankah itu satu tindakan yang sangat biadab terhadap negara? Adakah kerana kepentingan parti politik kita sanggup membatalkan kepentingan rakyat dan negara?
Berfikirlah secara logik dan rasional.

Gunakan hak kita secara wajar demi kepentingan rakyat dan negara. Bukan hanya untuk kepentingan parti-parti politik kita sahaja.

Sempena menyambut Hari Malaysia, bukankah lebih baik Pemuda PN mencontohi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang membuat Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat di seluruh negara untuk meraikannya?

Bukankah majlis seperti itu jauh lebih bermanfaat dan sesuai untuk memperingati penubuhan Hari Malaysia? Kalau mahu berhimpun dan berarak untuk mengekspresi apa yang diperjuangkan, silakan. Tetapi pilihlah tarikh dan hari yang lebih sesuai.

Dalam setahun ada 365 hari. Kenapa pilih Hari Malaysia? Kalau mahu berpolitik, berpolitiklah secara beretika. Jangan berpolitik secara semberono. Etika itu imperatif sifatnya. Tidak ada sebarang perhitungan lain selain dari nilai etika itu sendiri demi kepentingan rakyat dan negara.

Matlamat kita hari ini ialah untuk mencapai kestabilan politik demi untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi kita. Tanpa kestabilan politik, mana mungkin kita mampu memulihkan keadaan ekonomi dan memakmurkan rakyat serta negara.

Seharusnya kita melakukan apa sahaja untuk mencapai kestabilan politik. Bukan melakukan sesuatu untuk terus berada dalam konflik politik. Kasihani nasib rakyat yang semakin hari semakin menderita akibat peningkatan kos sara hidup.

Pemuda PAS seharusnya tampil di barisan hadapan untuk memperjuangkan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi. Ini kerana nasib dan masa depan generasi muda yang sedang menjadi pertaruhan.

Seharusnya dalam era Malaysia Madani ini kita bersatu padu menyokong sebarang usaha dari Kerajaan Tuanku untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi kita.

Hormati dan junjung tinggi titah baginda yang telah membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai solusi politik demi kepentingan rakyat dan negara.

Jangan sampai Raja-raja Melayu tidak ada pilihan lain kecuali mengisytiharkan “darurat politik” demi untuk mencapai kestabilan dalam upaya untuk menyelamatkan negara ini dari krisis ekonomi yang berpanjangan.

Saya sudah acap kali mengingatkan mengenai perkara ini. Ini kerana kalau berdasarkan kepada situasi politik semasa memang tidak ada solusi lain kecuali mengisytiharkan “darurat politik”.

Berhimpun dan berarak pada Hari Malaysia demi kepentingan politik sempit adalah tindakan yang tidak beradab dan melampaui batasan. Bukan begini sikap dan tindakan dari golongan pemuda yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan kepentingan sebuah negara bangsa.

Pihak penganjur dan mereka yang terlibat perlu ditangkap, didakwa dan dihukum kerana bersikap dan bertindak tidak sopan pada Hari Malaysia. Tindakan tersebut telah membatalkan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Datuk Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.