Hentikan Sikap Saling Tuding Jari, Sharif Musa Ajak Manfaat Peluang Untuk Perkukuh UMNO

LAHAD DATU, 14 Sept – Ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu matang dan tidak menyerlahkan kelemahan parti dengan saling menuding jari sebaliknya menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada hari ini untuk fokus memperkukuh parti.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lalad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berikutan perkembangan terkini dalam parti.

Katanya, sebagai anggota parti tidak kiralah atas peringkat mana sekalipun sewajarnya sama-sama berusaha memastikan UMNO berada dalam kedudukan terbaik dengan menghormati institusi dan organisasinya.

“Sedarlah kita, jika kita lihat dalam pola politik hari ini, mana-mana parti hari ini tidak boleh membentuk kerajaan sendiri. Namun begitu sebelum kita menuding jari, kita tanya diri sendiri, apakah sumbangan kita kepada akar umbi?

“Sebelum buat kenyataan, persiapkan diri dahulu untuk memastikan harapan akar umbi UMNO dapat dipenuhi dan dikecapi. Selepas PRU14, bermacam keperitan yang akar umbi UMNO rasai, semuanya akar umbi harungi dan telan.

“Jangan bercakap menjual nama akar umbi UMNO, sebab kamilah sebenarnya yang menjaga keperluan akar umbi UMNO di bawah. Cukup-cukuplah membuat kenyataan menjual nama akar umbi untuk memecah-belahkan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sepatutnya UMNO hari ini berpijak atas realiti dengan sama-sama mendukung Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri selain menterimenteri dari kepimpinan UMNO sendiri.

“Natijah yang akan berlaku apabila ktitikan secara terbuka dibuat bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga mampu menjejaskan fokus kepimpinan parti yang mengutamakan kesejahteraan negara dan masa depan rakyat.

“Kita jadikanlah penggal lalu sebagai tauladan apabila pasca PRU-14 berlaku macam-macam krisis politik yang menjadikan bukan hanya UMNO/BN celaru tetapi juga pentadbiran negara huru-hara yang kesannya amat besar kepada ekonomi rakyat dan kedudukan negara.

“Kerana itu, marilah kita bersama-sama mendukung usaha Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan UMNO yang ada demi masa depan yang lebih baik. Sekarang bukan lagi masa berpolitik tapi isilah ruang dengan masa bekerja,” katanya lagi.

Untuk di peringkat Bahagian Lahad Datu, beliau memaklumkan gerak kerja berterusan dibuat bagi memperkukuh sokongan akar umbi dan memastikan ahli yang ada benar-benar orang UMNO.

“Terima kasih kepada Ketua-Ketua Cawangan UMNO Bahagian Lahad Datu, yang memberi kerjasama menghantar borang bancian sikap dan setatus ahli dalam UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit