Kejayaan Di Pulai, Simpang Jeram Bukti Kerjasama PH-BN Diterima, Momentum Positif Untuk PRK Pelangai

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kejayaan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang diraih melalui kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam membuktikan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) diterima rakyat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman atas kemenangan masing-masing di kerusi Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, pimpinan utama PH-BN juga menyifatkan kemenangan wakil daripada parti Amanah itu juga menunjukkan rakyat lebih memilih “politik khidmat” yang ditawarkan gabungan politik itu berbanding “politik persepsi” dibawa Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kejayaan itu juga membuktikan kesungguhan PH dan BN untuk mengetepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil seterusnya membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara.

“Terima kasih kepada pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana memberikan sokongan di kotak undi bagi dua calon PH-BN, Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman. Tahniah juga buat kedua-dua calon ini.

Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa juga isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang didepani rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas usaha berterusan menerusi kempen dan menggerakkan jentera bagi membantu kemenangan kedua-dua calon.

PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas Suhaizan dan Nazri, kedua-duanya daripada Amanah menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 18,641 dan 3,514 majoriti undi.

Sementera itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata kemenangan PH-BN pada kedua-dua PRK berkenaan merupakan isyarat jelas bahawa rakyat khususnya Bangsa Johor menolak politik yang memainkan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja).

“Kita dengar macam-macam perkara yang telah dilontar, fitnah yang diucap oleh pimpinan PN tetapi rata-rata rakyat Johor menolak politik seperti ini dan ini petanda positif bahawa gelombang hijau mati, tidak sampai ke Johor,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata beberapa perkara untuk menangkis fitnah daripada terus berleluasa sedang diusahakan, seterusnya mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menasihati PN supaya menjadi pembangkang yang baik termasuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi berunding mengenai pelbagai perkara demi kebaikan bersama sebagai mana yang disarankan Perdana Menteri sebelum ini.

Dalam pada itu, di PUTRAJAYA Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kejayaan PH-BN di Pulai dan Simpang Jeram memberi momentum positif dan pembakar semangat kepada gabungan itu untuk meraih kemenangan seterusnya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam pilihan raya kecil bagi DUN itu pada 7 Okt ini.

Menteri Pengangkutan itu yakin seluruh jentera PH-BN akan berkampung di Pelangai bagi membantu kemengan calon yang bakal bertanding mewakili gabungan dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana kesungguhan jentera BN yang diketuai Mohamed Khaled dan Onn Hafiz yang bertungkus-lumus bekerja memenangkan calon PH pada dua PRK itu.

“Dua PRK di Johor itu menjadi bukti jelas kesatuan gabungan PH-BN apabila seluruh jentera BN memberi sokongan penuh kepada calon PH daripada parti Amanah untuk menang dan formula yang sama juga akan kita gunakan di Pelangai nanti di mana PH akan bersungguh-sungguh berkempen untuk calon BN di sana,” katanya.

Di SEREMBAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kemenangan calon PH di Pulai dan Simpang Jeram itu juga memberi cerminan bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan diakui dan diyakini rakyat.

Beliau berkata sokongan pengundi pelbagai kaum dan golongan muda kepada Suhaizan dan Nazri membuktikan politik persepsi yang digunakan pembangkang tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, dan harus dihentikan kerana tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat.

“Kejayaan pada PRK semalam jelas menunjukkan rakyat lebih memilih politik khidmat yang di bawa parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan berbanding politik persepsi oleh pembangkang,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Wanita UMNO menyifatkan kemenangan PH di kedua-dua kerusi membuktikan rakyat Johor lebih memilih gabungan parti yang boleh membantu kerajaan negeri memacu Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata rakyat sedar kecemerlangan dan kemajuan yang dihasratkan hanya mampu dicapai dengan adanya sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Terima kasih kepada seluruh jentera parti yang telah bertungkus-lumus berkempen untuk memastikan kemenangan ini dan keputusan dengan majoriti memberangsangkan jelas membuktikan kerjasama antara parti yang kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.